Jangan ganggu pasangan ‘golden goose’

0

Azizulhasni memerlukan konsentrasi yang tinggi bagi memberi pecutan terbaik

TENANG: Azizulhasni dan Fatehah meninjau keadaan tempat pertandingan di Veledrom Olimpik Rio pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016 di Rio de Janeiro Sabtu lepas. — Gambar Bernama

TENANG: Azizulhasni dan Fatehah meninjau keadaan tempat pertandingan di Veledrom Olimpik Rio pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016 di Rio de Janeiro Sabtu lepas. — Gambar Bernama

RIO DE JANEIRO: Jurulatih basikal negara, John Beasley merayu media Malaysia di sini agar ‘tidak mengganggu’ pakar keirin Azizulhasni Awang dengan menyatakan jaguh berbasikal itu memerlukan konsentrasi yang tinggi bagi memberi pecutan terbaik pada temasya Sukan Olimpik Rio.

Jurulatih dari Australia itu berkata tiada alasan bagi ‘anak emas’ beliau atau pelumba sprint wanita, Fatehah Mustapa, gagal beraksi cemerlang pada Sukan Olimpik di sini.

Berhubung keduadua atlet yang dikawal ketat media, Beasly berkata: “Anda berpeluang temu bual 100 peratus pelumba itu selepas tamat perlumbaan mereka.”

Bercakap pada sidang media di Perkampungan Sukan di sini pada Ahad, beliau berkata akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan Azizulhani berjaya ke final pada 16 Ogos ini.

Beliau melahirkan keyakinan Azizulhasni telah bersedia sepenuhnya untuk beraksi dan dalam posisi terbaik memenangi pingat emas.

“Saya beri jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kami telah bersedia untuk beraksi… percayalah kepada saya, kami akan lakukan yang terbaik atau mencari alasan untuk membatalkan perlumbaan ini, ” katanya.

Beasley berkata Azizulhasni akan berjaya ke final selepas menjalani persediaan yang cukup dan lebih baik berbanding dua penyertaan Sukan Olimpik sebelum ini, iaitu edisi di Beijing pada 2008 dan di London pada 2012 menyaksikan dia menduduki tangga ke-10 dan keenam.

Beliau berkata beberapa masalah mengenai basikal itu telah diatasi selepas menjalani latihan selama lima minggu di Portugal dan trek di sini adalah sama seperti yang pelumba jalani latihan di Melbourne, Australia.

“Kami mempunyai seorang pelumba yang berupaya untuk menyumbangkan pingat emas… sudah pasti ia mesti diiringi tuah. Kita bertuah mempunyai Azizulhasni sebagai rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Beliau berkata walaupun bertubuh kecil, pelumba yang digelar ‘Pocket Rocketman’ itu mempunyai kekuatan mental dan keupayaan taktikal yang berupaya menterjemahkannya kepada kelajuan sebagai senjata utama untuk membuahkan kejayaan dalam temasya sukan itu.

Bagi pelumba wanita, Fatehah, Beasley berkata walaupun pakar keirin itu layak bagi acara sprint 200m, prestasinya kini telah meningkat berbanding sebelum ini untuk melakukan catatan peribadi terbaik bawah 11 saat. — Bernama