Kerajaan sokong penuh industri penanaman nanas

0

Industri nanas di S’wak mempunyai banyak peluang dan ruang untuk dikembangkan ke tahap lebih tinggi

// Oleh Nick Fletcher //

TERTARIK: Uggah diiringi Sahdan melihat produk nanas yang dipamerkan sempena Pelancaran Program Banci Tanaman Nanas di Sarawak 2016 di Dewan Suarah Samarahan, semalam.

TERTARIK: Uggah diiringi Sahdan melihat produk nanas yang dipamerkan sempena Pelancaran Program Banci Tanaman Nanas di Sarawak 2016 di Dewan Suarah Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan negeri akan menyokong penuh industri penanaman nanas untuk menjadi salah satu enjin pertumbuhan utama industri berasaskan pertanian dan dapat menghasilkan produk keluaran pertanian yang berkualiti dan selamat dimakan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia seiring dengan program transformasi luar bandar oleh kerajaan negeri di mana industri nanas di Sarawak mempunyai banyak peluang dan ruang untuk dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita berharap pada masa depan Sarawak bukan hanya akan menjadi pembekal nanas bagi pasaran tempatan malah ke luar negara sekali gus menjadi negeri pengeluar nanas terbesar di Malaysia…itu sasaran kita,” katanya.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata demikian pada Majlis  Pelancaran Program Banci Tanaman Nanas di Sarawak 2016 di Dewan Suarah Samarahan di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Samsolbari Jamali, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan Ketua Pengarah LPNM Sahdan Salim.

Menurut Uggah berdasarkan statistik LPNM, keluasan tanaman nanas di Sarawak bagi tahun 2015 adalah seluas 1,805 hektar dan ia menjadikan Sarawak sebagai negeri kedua terbesar dari segi keluasan tanaman selepas Johor.

Justeru, beliau berharap LPNM turut membantu  membangunkan industri nanas di Sarawak seperti dengan membawa varieti nanas terkini MD2 termasuk membuat penyelidikan dan memindahkan teknologi bagi meningkatkan produktiviti industri nanas.

“Kita berharap LPNM dapat mendirikan industri hiliran berasaskan nanas di Sarawak agar ia dapat menjana pendapatan terutama kepada para petani khususnya di luar bandar,” katanya.

Uggah menambah, pemasaran hasil nanas juga harus dipertingkatkan di negeri ini kerana pasaran tempatan nanas pada masa ini tidak begitu efisien.

Sementara itu, beliau menyokong penuh Program Banci Tanaman Nanas di Sarawak 2016 yang melibatkan responden seramai 719 pengusaha nanas semasa.

“Dengan wujudkan pangkalan data hasil daripada bancian ini, saya berharap ia akan dapat membantu menangani cabaran-cabaran industri nanas negara dan keluaran nanas Sarawak khususnya dalam membantu memenuhi permintaan di peringkat global,” katanya.