STA yakin Sarawak terus kuasai taekwondo SUKMA 2018 di Perak

0

SIBU: Naib Presiden Persatuan Taekwondo Sarawak (STA), Datuk Lau Keung Chai yakin Sarawak akan terus menguasai acara taekwondo pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

Beliau turut melahirkan rasa gembira selepas Sarawak muncul juara keseluruhan acara taekwondo pada SUKMA XVIII di Kuching apabila meraih lapan pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

“Kita juara keseluruhan acara taekwondo sejak penganjuran SUKMA 2012 dan berpotensi mengunggulinya pada SUKMA 2018 di Perak,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Taekwondo Jemputan di SMK Methodist di sini kelmarin.

Hadir sama Pengetua SMK Methodist Yong Choo Tiong.

Lebih 200 peserta mengambil bahagian termasuk atlet-atlet dari Miri, Kuching, Saratok, Sarikei dan tuan rumah, Sibu melibatkan 22 sekolah, dua kolej dan sebuah pusat kecemerlangan.

Lau berkata, kebanyakan pemenang pingat SUKMA XVIII lalu untuk skuad Sarawak acara taekwondo ialah peserta berusia 16 tahun dan mereka masih layak menyertai SUKMA edisi ke-19.

Karen Lee dan Licky Donny Ling dari Sri Sibu Taekwondo Club (SSTC) masing-masing pulang dengan satu pingat perak dan satu gangsa.

Lau mengulas prestasi Karen dan Licky memberitahu bahawa ia adalah kali pertama SSTC mempunyai wakil pada SUKMA sekali gus penyumbang pingat kepada kontinjen negeri.

“Mudah-mudahan, SSTC terus bekerja keras melahirkan atlet-atlet berkaliber bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Lau mengingatkan peserta kejohanan tersebut agar bekerja keras mewakili Sarawak pada Kejohanan Taekwondo Remaja yang diadakan pada 21 dan 22 Ogos ini di Semananjung Malaysia.