Tiga didakwa cuba bunuh TR Jambai

0
CUBAAN BUNUH: Ketiga-tiga tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pagi semalam.

CUBAAN BUNUH: Ketiga-tiga tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pagi semalam.

BURU: Polis buru Kong Chin Bing yang masih bebas.

BURU: Polis buru Kong Chin Bing yang masih bebas.

MIRI: Tiga lelaki masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan cuba membunuh dan melakukan khianat terhadap Tuai Rumah (TR) Jambai dan isteri tahun lepas.

Tu Kah Chiong, 27, dari Jalan Daro, Taman Tunku; Mohamad Fitri Pauzi, 29, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D dan Raymond Sim Yeat Choon, 23, dari Jalan Riam di sini telah didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana melakukan cubaan membunuh.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah melakukan cubaan membunuh Jambai Jali, 47, Bibi Unding, 46, dan Floren Manie, 18, dengan cara melanggar kereta dipandu Jambai sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan kenderaan terbabit terbalik dan kemudian memukul kereta mangsa menggunakan kayu besbol serta menetak lengan kanan Jambai mengguna sebilah pedang samurai.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama seorang lagi masih bebas pada jam 1.30 petang, 26 November 2015 di Bulatan Pelita, Jalan Pujut-Miri di sini.

Selain itu, ketiga-tiga tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan memecahkan cermin dan merosak kereta milik Bibi Unding.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka bersama seorang lagi yang masih bebas pada jam 1 petang, 26 November 2015 di tepi stesen minyak Petronas, Jalan Piasau di sini.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Setelah mendengar pengakuan tidak bersalah ketiga-tiga tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Mohd Izzat Wan Abdullah memohon agar ditetapkan satu tarikh baharu untuk perbicaraan lanjut.

Beliau turut memohon agar tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh pertama kerana pernah memberikan alamat tidak tepat semasa dibebas dengan jaminan polis sebelum ini hingga menyukarkan polis mengesan dan menghubunginya.

Bagaimanapun katanya, polis bernasib baik kerana berjaya menangkapnya malam kelmarin untuk dihadapkan ke mahkamah pagi ini (semalam).

Manakala tertuduh kedua dan ketiga sedang dalam tahanan lanjut berhubung dua kes lain masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Steve Ritikos membenarkan permohonan itu dan menetapkan 7 September depan untuk pengurusan kes dan perbicaraan lanjut ditetapkan selama sembilan hari bermula 14 hingga 16 November dan 28 hingga 30 Disember tahun ini.

Ketiga-tiga tertuduh kemudian diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar berkata pihaknya kini sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas dalam kes ini dikenali sebagai Kong Ching Bing, 26, dan beralamat di Lot 2041, Fasa 2, Desa Bahagia di sini.

“Setakat ini kita berjaya memberkas tiga tertuduh dan ketiga-tiga mereka dituduh di Mahkamah Sesyen pagi ini mengikut Seksyen 307 dan 427 Kanun Keseksaan masing-masing dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana cubaan membunuh dan melakukan khianat,” katanya pada sidang media di luar mahkamah di sini semalam.

Katanya, tangkapan ke atas ketiga-tiga tertuduh terbabit dibuat hasil rentetan siasatan yang dilakukan pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes pembunuhan Bill Kayong.

Pada masa sama katanya, mereka telah mengkaji semua laporan polis dan kertas siasatan yang dibuka berkaitan pertikaian tanah NCR di Bekelit, Bekenu dan salah satu kes yang dikaji adalah insiden mencederakan TR Jambai dan isterinya.