Rakan Taman semai kesedaran jaga taman awam

0

Jangan salah guna peranan NGO untuk mengenakan bayaran kepada orang ramai: Abg Abdul Wahap

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

LANCAR: Abang Abdul Wahap ketika menyempurnakan simbolik pelancaran Program Rakan Taman di Taman Samariang Aman, semalam.

LANCAR: Abang Abdul Wahap ketika menyempurnakan simbolik pelancaran Program Rakan Taman di Taman Samariang Aman, semalam.

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengingatkan Rakan Taman yang ditubuhkan di kawasan kejiranan agar tidak menyalahgunakan peranan badan bukan kerajaan (NGO) itu untuk mengenakan bayaran kepada orang awam.

Datuk Bandar Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, tindakan mengutip bayaran itu ternyata menyimpang dari fungsi dan peranan sebenar Rakan Taman.

Katanya, Rakan Taman bertujuan untuk menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mencintai dan memiliki sifat kepunyaan taman awam.

“Rakan Taman turut bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam pengurusan taman supaya ia sentiasa berada dalam keadaan terurus dan selesa digunakan oleh orang awam.

“Janganlah fungsi anda (Rakan Taman) disalahgunakan dengan mengenakan caj kepada orang awam yang datang ke taman di kawasan kejiranan,” tegasnya.

Abang Abdul Wahap berkata demikian ketika menghadiri pelancaran Rakan Taman di kawasan kejiranan Taman Samariang Aman di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan Rakan Taman bukan bertujuan untuk dikomersilkan meskipun kewujudannya boleh diperkenalkan kepada penduduk lain menerusi konsep kesukarelaan.

“Secara tidak langsung Program Rakan Taman ini merupakan landasan yang boleh digunakan untuk memupuk semangat kesukarelawanan dan dijadikan amalan memelihara, menyelenggara dan mengawasi taman yang telah dinaik taraf,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Abang Abdul Wahap berkata program tersebut juga berperanan menggalakkan penganjuran aktiviti riadah untuk menyemarakkan fungsi taman.

Selain itu, secara tidak langsung katanya, ia dapat membantu PBT dalam mengurus taman melalui gotong-royong secara berkala.

Dalam ucapannya, beliau mendedahkan Taman Samariang Aman merupakan kawasan kejiranan pertama yang melaksanakan program Rakan Taman.

Menurut Abang Abdul Wahap, pelaksanaan program itu akan terus dilakukan di 12 taman perumahan lain termasuk Taman Demak Baru Fasa 1, Taman Happy, Taman Begawut, Star Garden (Lorong 5), Taman Literature, Taman Sri Wangi (Lorong Menggris 4 dan Lorong Menggris 8A), Taman Family Park, Buntal Esplanade, Taman Mawar dan Taman Jalan Layang-Layang.

Katanya, sejumlah RM72,000 diperuntukkan oleh Jabatan Landskap Negara kepada 12 taman perumahan terbabit untuk tujuan pelaksanaan program Rakan Taman dalam tempoh dua tahun.