Impian Freddy terhalang

0

Masalah teknikal kecewakannya kecapi podium perlumbaan TCSA 2016

// Oleh Harry Ilias //

PEMERIKSAAN: Mekanik sedang membuat pemeriksaan ke atas kereta Freddy sebelum perlumbaan pusingan kedua bermula.

PEMERIKSAAN: Mekanik sedang membuat pemeriksaan ke atas kereta Freddy sebelum perlumbaan pusingan kedua bermula.

KUCHING: Masalah teknikal menghalang impian jaguh lumba kereta dari Sarawak, Freddy Numan Lawan untuk mengecapi podium pada perlumbaan Touring Car Series in Asia (TCSA) Malaysian Championship Series 2016 di Sirkit Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Bersaing dalam kategori S2000 Independance Class sebanyak 10 pusingan menentang 23 pelumba terbaik dari Asia, Freddy akur menduduki tempat ketujuh selepas ditimpa dua halangan pada pusingan pertama dan kedua.

Beliau yang mewakili kelab lumba JC Racing memandu kereta jenis Honda Integra pada perlumbaan tersebut.

“Kereta saya mengalami masalah stering pada pusingan pertama namun saya masih mampu menamatkan saingan di kedudukan keenam. Kedudukan itu memberi saya keyakinan untuk kembali bangkit pada perlumbaan pusingan kedua.

“Namun, segalanya-galanya tidak tercapai impian saya apabila gear pula menimbulkan masalah pada perlumbaan pusingan terakhir,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Freddy, beliau bermula dengan baik pada perlumbaan pusingan kedua dengan berjaya memintas beberapa pelumba pilihan sekali gus memimpin saingan.

Katanya, cuaca cerah di Litar Sepang menambah keyakinan beliau untuk menampilkan aksi konsisten sebelum masalah gear menggagalkan usahanya untuk menduduki kedudukan lima teratas.

“Gear tiga kereta saya rosak dan situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelumba-pelumba lain untuk memintas saya.

“Bagaimanapun, saya cuba mengejar semula namun gagal kerana kereta pelumba-pelumba lain kebanyakannya menggunakan sistem ‘gearing sequential’ jauh lebih baik dan pantas,” katanya.

Namun, beliau tetap berpuas hati kerana meskipun dihambat pelbagai masalah jentera tetap mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh secara keseluruhannya.

Menurut Freddy, beliau yakin dapat menamatkan perlumbaan itu di kedudukan lima teratas jika jenteranya tidak mengalami masalah.

“Ya…saya tetap berpuas hati dengan pencapaian ini kerana perlumbaan TCSA sememangnya sukar dan berstatus tinggi di mana pesertanya terdiri pelumba-pelumba terbaik seluruh Asia seperti dari Korea Selatan, Macau dan Hong Kong.

“Tambahan pula pelumba-pelumba negara lain kerap berlumba di serata Asia berbanding saya jarang berlatih kerana ketiadaan trek lumba yang bersesuaian di sini,” katanya.

Pelumba Hong Kong mendominasi podium pertama hingga ketiga dengan Tsui Kwai Shing yang mewakili 778 Auto Sport meraih tempat teratas.

Lo Sze Ho dari kelab HKR di tempat kedua dan Man Ting Yu mewakili Team Sporsky di tempat ketiga.

Pusingan ketiga perlumbaan akan berlangsung di Motegi, Jepun pada 3 dan 4 September depan.

Sehubungan ini, Freddy juga akan menyertai perlumbaan gokart X30 Challenge Singapura pusingan keempat di Sirkit Karting KF1 pada 20 Ogos ini.