Tiga atlet wushu Sarawak dipilih wakili skuad negara

0
WAKILI NEGARA: Elvic (kiri), Clement (tengah) dan Muhammad Asri Abdul Wahab ketika meraih pingat emas skuad Wushu Sarawak pada SUKMA XVIII di Kuching bulan lalu.

WAKILI NEGARA: Elvic (kiri), Clement (tengah) dan Muhammad Asri Abdul Wahab ketika meraih pingat emas skuad Wushu Sarawak pada SUKMA XVIII di Kuching bulan lalu.

KUCHING: Tiga atlet wushu Sarawak dipilih mewakili skuad negara bersama dua lagi atlet dari Melaka dan seorang dari Selangor dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), James Ting berkata tujuh atlet yang dipilih itu berdasarkan prestasi cemerlang ditunjukkan semasa Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) di sini bulan lalu.

“Sebahagian mereka akan mewakili skuad senior manakala selebihnya akan berlatih bersama skuad pelapis,” katanya di sini semalam.

Menurut Timbalan Presiden Persekutuan Wushu Sarawak itu, tiga atlet Sarawak yang dipilih ialah Clement Ting, Elvic Bong dan Lee Hui Xian.

Clement, 18, manakala Elvic, 17, akan menyertai skuad senior dan Hui Xian, 14, menyertai skuad pelapis.

“Atlet-atlet lain yang turut diserap dalam skuad kebangsaan ialah Fu Fang Zyun, Tan Zhi Yan dan Choon Yue Qi,” jelasnya sambil menambah akan mengadakan mesyuarat untuk menyokong pemilihan tersebut.

Ting berkata, dengan tambahan trio atlet itu Sarawak mempunyai tujuh atlet dalam skuad kebangsaan.

Mereka ialah Loh Jack Chang, Diana Bong, Audrey Chan dan Gjeblehem Bong.

Pada SUKMA Ke-18 lalu, Sarawak menamatkan saingan kedudukan kedua dengan meraih enam emas, empat perak dan enam gangsa di belakang Melaka yang mengutip enam emas, 11 perak dan tujuh gangsa.

Clement Ting muncul alet terbaik Sarawak dengan menyumbang dua emas dan satu perak (changquan, gunshu dan daoshu), Elvic turut menghadiahkan dua emas, satu gangsa (qiangshu, jianshu, changquan) dan Hui Xian merangkul perak dalam acara gunshu wanita.