Lee, Eliza rangkul juara Golf Sarawak Classic

0

KUCHING: Dua pemain golf Sarawak, Lee Ka Tung dan Eliza Mae Kho dinobatkan juara Kejohanan Golf Sarawak Classic yang diadakan selama dua hari bermula 13 Ogos lalu di Kelab Golf Sarawak di sini semalam.

Lee mencatatkan pukulan keseluruhan 142 sepanjang dua hari kejohanan tersebut bagi kategori Gross lelaki keseluruhan 36 lubang Sarawak Classic.

Manakala Eliza pula mencatatkan 157 pukulan bagi kategori Gross wanita keseluruhan 36 lubang Sarawak Classic.

Sebelum ini, Lee pernah dinobatkan juara pada 2006, 2007, 2008, 2010, 2011, 2014 dan 2015 turut menerima piala pusingan, baucar tunai RM3,000 dan wang tunai RM4,000 daripada Mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang turut ditemani isterinya, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga kategori lelaki keseluruhan 36 lubang dimenangi Lau Chung Teong (145) dan Steven Hii (157).

Manakala kategori wanita pula, tempat kedua dan ketiga dimenangi Laura Goh Hui Ee (163) dan Tan Chloe-Wee (165).

Pada majlis itu semalam, Adenan turut mendendangkan lagu istimewa ‘Can’t Help Falling In Love’ khas untuk Jamilah sempena hari lahir isterinya kelmarin.