APMM akan wujudkan dua pasukan maritim

0

SANDAKAN: Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk SeriAhmad Puzi Abdul Kahar berkata, APMM akan mewujudkan Pasukan Simpanan Maritim dan Pasukan Kadet Maritim yang terbuka luas kepada rakyat tempatan untuk menyertainya.

“Dengan jaringan dua hala ini akan memastikan APMM dapat melaksana dengan lebih berkesan menjaga keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu keputusan Kabinet untuk meluluskan pewujudan dua pasukan ini.

“Sekiranya kedua-dua pasukan ini diwujudkan, masyarakat setempat perlu merebut peluang menyertainya kerana jalinan dua pihak APMM dan masyarakat setempat akan lebih erat dalam memastikan perairan negara lebih terjamin,” katanya.

Puzi berkata pihaknya juga sedang berusaha memantapkan lagi APMM di Sabah dengan membina satu lagi pejabat di Semporna.

“Proses menentukan tapak telah pun selesai dijalankan dan kita dalam peringkat akhir untuk pembinaan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pejabat Maritim Sandakan (DM 17) yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah selaku wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Turut hadir Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Tau Lin, ADUN Karamunting Charles O Pang, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Zaitun Abdul Samad, Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz,

Pengarah Maritim Daerah Sandakan Kepten Maritim A. Razak Abdul Rahman dan pegawai-pegawai kanan pasukan keselamatan.

Puzi berkata APMM telah menempatkan 1,000 anggota maritim di seluruh Sabah yang merupakan penempatan terbesar di Malaysia.

“Kekuatan aset-aset yang terdapat di Sabah juga adalah dua kali ganda berbanding di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” katanya.

Beliau menegaskan ini salah usaha pucuk pimpinan kita yang begitu komitmen dalam memastikan perairan di negeri Sabah khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

“APMM bersama pasukan keselamatan yang lain sering menghantar pasukan khas dan unit udara ke Sabah dalam menjalankan operasi,” katanya.

Beliau berkata APMM sangat komitmen dalam memastikan perairan negera terutamanya di Sabah sentiasa terjamin.

“Kita juga telah wujudkan pelbagai program termasuklah Program Sahabat Maritim yang berkerjasama dengan masyarakat setempat bagi membantu pihak APMM dan pasukan keselamatan lain dalam menyalurkan maklumat,” katanya.

Dalam ucapanya sebelum itu, Puzi berkata dengan terbinanya bangunan pejabat baharu Daerah Maritim Sandakan yang serba dilengkapi dengan kemudahan asas yang baik dapat meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan.

Katanya, bangunan pejabat Daerah Maritim Sandakan merupakan kesinambungan kepada usaha dan kesungguhan APMM meningkatkan penguatkuasaan dan keselamatan di perairan negara khususnya di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone).