Tiga didakwa pecah amanah RM5.73 juta

0
DITUDUH: Ahli perniagaan Chai Nyuk Kong, 59, dan anaknya Chai Ven Pin, 31, (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen semalam. — Gambar Bernama

DITUDUH: Ahli perniagaan Chai Nyuk Kong, 59, dan anaknya Chai Ven Pin, 31, (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen semalam. — Gambar Bernama

KENINGAU: Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM5.73 juta.

Seorang ahli perniagaan, Chai Nyuk Kong, 59 dan anak lelakinya Chai Ven Pin, 31, masing-masing turut menghadapi dua pertuduhan di mahkamah yang sama atas dakwaan bersubahat dengan kontraktor itu, Ahmad Jasad Salali, 54 dalam melakukan kesalahan berkenaan.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Ahmad Jasad didakwa melanggar perjanjian sub-kontrak pada 31 Okt 2009 sehingga Julai 2010 dengan memasukkan RM5,139,856.77 yang merupakan wang pembayaran untuk projek pembinaan jalan raya Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Km38, Nabawan, ke dalam akaun peribadinya di CIMB Islamic Bank, Keningau yang mana wang itu sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank, syarikat Ahmad JS Construction Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, pada 30 Sept 2011 Ahmad Jasad sekali lagi didakwa melanggar perjanjian sub-kontrak dengan memasukkan RM589,387.20 wang pembayaran untuk projek yang sama ke dalam akaun miliknya di bank yang sama, yang mana wang tersebut sepatutnya dimasukkan ke nombor akaun CIMB Islamic Bank kepunyaan syarikat Ahmad JS Construction Sdn Bhd.

Ahmad Jasad dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Nyuk Kong dan Ven Pin masing-masing didakwa bersubahat membantu Ahmad Jasad melakukan pecah amanah itu antara 31 Okt 2009 hingga Julai 2010 dan 30 Sept 2011, di CIMB Islamic Bank, cawangan Keningau.

Kedua-dua anak beranak itu masing-masing didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana bersubahat bersama melakukan kesalahan pecah amanah itu dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Ainul Shahrin menetapkan jaminan sebanyak RM200,000 setiap seorang tertuduh dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 17 Nov depan bagi sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun dan Ahmad Jasad diwakili peguam Arthur Bornie, manakala Nyuk Kong dan Ven Pin diwakili peguam Razali Awang. — Bernama