Suspek cabul dicekup

0
DITAHAN: Suspek kes cabul kanak-kanak ditangkap anggota JSJ semalam.

DITAHAN: Suspek kes cabul kanak-kanak ditangkap anggota JSJ semalam.

Lelaki ditahan selepas disyaki buka seluar, cuba lakukan sesuatu ke atas budak 7 tahun.

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Stutong Baru di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, suspek berusia 18 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Stutong Baru oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebaik sahaja laporan dibuat oleh bapa mangsa.

Menurutnya, kejadian berlaku pada Khamis lepas apabila suspek meminta mangsa menunjukkan jalan ke sebuah kedai runcit sekitar jam 10.30 malam.

“Mangsa yang dalam keadaan trauma memberitahu bapanya bahawa suspek pada malam tersebut memintanya menunjukkan jalan ke kedai runcit yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.

“Suspek bagaimanapun didakwa membuka seluar mangsa dan cuba melakukan sesuatu ke atasnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abang Ahmad berkata, laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa sebaik sahaja dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

“Mangsa masih dalam keadaan trauma dan tidak dapat memberikan keterangan.

“Selain itu, mangsa juga telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan.

“Suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut dan akan direman esok (hari ini),” katanya.

Menurutnya lagi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.