Dr Bob Baru janji teruskan perjuangan meskipun kalah PRN

0

MIRI: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Senadin Dr Bob Baru Langup berkata beliau masih berada di negeri ini dan akan bekerja keras membawa perubahan dalam arena politik Sarawak meskipun kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Katanya kegagalan dalam PRN lepas tidak akan mematahkan semangat untuk terus membawa perjuangan DAP malah terus berusaha melakukan yang terbaik bersama parti itu untuk menggempur Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya masih ada di sini, selagi negara kita masih belum berubah menjadi yang lebih baik dan untuk rakyatnya, saya akan terus menyokong ‘ubah’,” katanya ketika menjelaskan mengenai kedudukannya, setelah ramai yang mempersoalkan mengenai kehilangan selepas PRN yang lalu.

Dr Bob berkata di hatinya, beliau sentiasa dan telah sekian lama mendambakan perubahan dan mendakwa bahawa hanya dengan perubahan yang dibawa oleh pembangkang sahaja, maka prestasi buruk mata wang negara, Ringgit dalam tukaran wang dapat dipulihkan semula.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa tiada jalan pintas untuk melaksanakan ‘ubah’ dalam negara, sebaliknya pihak pembangkang perlu bekerja keras untuk mendapatkannya.

Beliau juga mendakwa bahawa sumber-sumber yang ada di negeri ini adalah lebih banyak dan lebih kaya berbanding Singapura, tetapi rakyat negeri ini kekal dan jauh lebih miskin.

“Oleh yang demikian, rakyat perlu sedar dan sudah tiba masanya rakyat bangkit daripada lena seterusnya bangun menyokong pakatan pembangkang bagi memenangi PRU akan datang seterusnya membawa perubahan amat besar kepada negara,” katanya.

Dr Bob memberitahu, perkara itu semasa berucap pada Majlis Makan Malam Amal DAP malam kelmarin (Sabtu).

Majlis itu diadakan bagi mengutip dana untuk membiayai pelbagai aktiviti kempen DAP di Miri pada PRU akan datang.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen, ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon, Ahli Parlimen Miri Dr Teo Yu Kheng, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng, Setiausaha DAP Negeri Alan Ling Sie Kiong, Pegawai Publisiti Sosialis Belia DAP Petra Jaya Abdul Aziz Isa, Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming, Pengerusi Parti Amanah Negara Miri Yeo Kian Leong dan pengerusi penganjur Ling Siew Ping.

Pada majlis itu, tabung kutipan derma turut diedarkan dari meja ke meja dengan kutipan berjumlah RM5,534 berjaya diperolehi pada majlis yang dihadiri seramai 700 tetamu.