Dua KRT diberi RM5,000

0
DILANCAR: Kurup melancarkan Hari Malaysia peringkat KRT tiga kampung di Nabawan. Turut kelihatan Gandesan (kanan) dan Delin (kiri).

DILANCAR: Kurup melancarkan Hari Malaysia peringkat KRT tiga kampung di Nabawan. Turut kelihatan Gandesan (kanan) dan Delin (kiri).

Modal permulaan bantu projek ekonomi berimpak tinggi

NABAWAN: Kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menyediakan dana sebanyak RM5,000 kepada dua Kawasan Rukun Tetangga di setiap negeri yang dipilih dan menjalankan projek ekonomi berimpak tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, dana yang disediakan itu adalah sebagai modal permulaan untuk membantu KRT yang berjaya melaksanakan projek tersebut di kawasan masing-masing.

“Saya berharap ahli-ahli KRT di negeri ini akan merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan ini dalam meningkatkan lagi ekonomi mereka,” katanya semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia anjuran bersama KRT tiga buah kampung dan dua buah sekolah rendah bagi peringkat daerah ini pada Khamis.

Kampung-kampung tersebut ialah KRT Kampung Lima, KRT Kampung Enam, KRT Kampung Loboh dan dua buah sekolah itu ialah SK Kebu Baru dan SK Kampung Enam.

Katanya, JPNIN telah menyediakan banyak program meliputi sembilan program yang dilaksanakan di bawah ‘outcome based budget’.

Menurut beliau, ini termasuklah Skuad Unity, Projek Ekonomi Rukun Tetangga, Projek Inovasi Rukun Tetangga, Program Sayangi Komuniti, Program Kempen Kesedaran Keselamatan Skim Rondaan Sukarela (SRS), Program Jom Ronda SRS, Program Pencegahan Jenayah,  Skuad Elite Jiran Wanita (SEJIWA) dan Pasukan Inovatif Jiran Muda.

“Namun begitu, program ekonomi diberi penekanan kerana ia mampu meningkatkan ekonomi komuniti KRT,” kata Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 147 projek ekonomi KRT telah dikenal pasti dan dijalankan di seluruh negara.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Gandesan Letchumanan, Pengarah JPNIN Sabah Delin Liet Blaun dan Guru Besar SK Kebu Baru, Ansora Putiang.