Farida Sarakup mengungguli Kejohanan Badminton Terbuka Bumiputera Sarawak

0

KUCHING: Pasukan Farida Sarakup menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Bumiputera anjuran Kelab Sukan Komuniti Satok dengan kerjasama iM Sarawak dan Persatuan Badminton Bumiputera Sarawak (PBBS) di sini semalam.

Farida Sarakup memenangi tiga perlawanan menumpaskan Gersik A pada perlawanan akhir sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,500, plak dan piala.

Manakala Gersik A membawa pulang wang tunai RM1,200 dan plak.

Tempat ketiga bersama dimenangi Combine X-A dan Combine X-B masing-masing membawa pulang wang tunai RM500.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang turut ditemani Ahli Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak, Irwan Zulkarnain, Ketua Pemuda PBB Satok, Iskandar Sharkawi dan tetamu lain.

Kejohanan yang diadakan sejak 23 September lalu itu disertai 11 pasukan melibatkan 132 pemain lelaki dan wanita.

Irwan dalam ucapannya berkata, kejohanan itu diadakan bagi memupuk minat kalangan masyarakat di Kuching dalam sukan badminton.

Selain itu, katanya ia juga menggalakkan amalan hidup sihat dan pada masa sama mempromosikan sukan badminton kalangan anak-anak muda.