Himpunan terbesar pendandan rambut berjaya dicatat dalam Malaysia Book Of Records

0

SERDANG: Perhimpunan Perantis Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terbesar Menggunting Rambut yang berlangsung semalam  bersempena Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) 2016 dan Karnival serta Ekspo Kemahiran Kebangsaan (KEKK 2016), berjaya dinobatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Diadakan di Taman Ekspo Agro Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), acara yang berlangsung kira-kira tiga jam itu, berjaya menghimpunkan seramai 516 pendandan rambut dari seluruh negara.

Sijil pengiktirafan rekod tersebut telah diserahkan oleh wakil MBOR Siti Hajar Johor kepada Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Datuk Dr Phang Chau Leong.

Ketua Urusetia Program Mohd Faisal Abdullah berkata penganjuran acara tersebut dilakukan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai bahawa bidang dandanan juga adalah kerjaya yang mampu menjana pendapatan.

“Biasanya pendandan rambut yang baharu memasuki alam pekerjaan akan menerima sekitar RM1,000 ke RM1,500 sebulan dan pendapatan mereka akan kian meningkat seiring dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki,” katanya kepada Bernama.

Acara tersebut telah dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dengan kerjasama GIATMARA serta Kementerian Belia dan Sukan. — Bernama