Lebih 300 delegasi hadiri Kongres Persatuan Veterinari Malaysia 2016

0

KUCHING: Lebih 300 delegasi menghadiri Kongres Persatuan Veterinari Malaysia (VAM) 2016 Ke-28 yang berlangsung di bandar raya ini selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September.

Bertemakan ‘Veterinari Services and Practice-Meeting the Challenges and Standards’, kongres ini merupakan anjuran bersama VAM dan Persatuan Veterinari Sarawak.

Presiden VAM Dr Paul Chelliah S berkata kongres ini memberi fokus kepada tiga profesion utama iaitu pengeluaran haiwan, pemuliharaan hidupan liar dan perubatan haiwan.

“Matlamat kongres ini adalah untuk menjadi seholistik mungkin dalam menyediakan gambaran luas profesion veterinari sejajar dengan tema kongres ini.

“Kami berterima kasih kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) untuk pegawai-pegawainya yang membentangkan standard OIE mengenai kebajikan dan cabaran yang kami hadapi dalam dunia globalisasi yang  pantas.

“Terdapat juga sesi satelit mengenai neurologi bagi doktor haiwan,” kata Dr Paul pada Majlis Perasmian dan Jamuan Malam Gala Kongres VAM Ke-28 di salah sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Pada majlis itu malam kelmarin, Dr Paul yang juga pengerusi penganjur memperkenalkan bakal presiden baharu VAM iaitu Datuk Dr Quaza Nizamudin Hassan Nizam.

Dalam pada itu pemilihan bandar raya ini sebagai tuan rumah kongres kali ini adalah atas beberapa sebab antaranya tajaan oleh Biro Konvensyen Sarawak bagi pertunjukan budaya Sarawak pada Persidangan Persatuan Veterinari Pan Komanwel Ke-6 di Kuala Lumpur tahun lepas.

Sebab lain termasuk kerjasama dengan Persatuan Veterinari Sarawak dalam membawa bersama persaudaraan dan kutipan dana manakala sebab ketiga ialah untuk membolehkan rakan-rakan kongres di Sabah dan Sarawak dekat dengan kediaman.

“Lebih istimewa beg kongres kali ini dibuat oleh masyarakat Penan dan wang hasil pembelian beg ini akan disalurkan bagi tujuan pembangunan dan kesejahteraan wanita Penan.

“Ini merupakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menjadikan kongres ini lebih bermakna buat para peserta,” kata Dr Paul.