Menjaga kebersihan persekitaran pekan tanggungjawab bersama

0

NABAWAN: Menjaga kebersihan persekitaran pekan adalah tanggungjawab bersama dan bukan diletakkan di bahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Bobbey A. Suan berkata, menjaga kebersihan persekitaran pekan terutama kawasan premis-premis perniagaan adalah tanggungjawab bersama temasuk orang ramai.

Katanya, menjaga kebersihan bukan untuk keindahan persekitaran sahaja tetapi yang lebih penting adalah menjaga kesihatan masyarakat terutama dalam usaha mencegah wabak demam denggi dan yang terbaharu virus Zika yang mula menular di negara ini.

Bobbey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan berkata demikian semasa berucap melancarkan Program Gotong-Royong Perdana sempena kempen kawalan demam denggi dan virus Zika peringkat daerah Nabawan di tapak tamu, di sini pada Khamis.

Seramai kira-kira 300 masyarakat pelbagai lapisan terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, badan-badan sukarela, ahli-ahli parti politik dan peniaga di daerah ini menyertai gotong-royong itu.

Bobbey dalam ucapannya turut memuji usaha Pejabat Daerah Nabawan yang diterajui oleh Pegawai Daerah Fredian Gan dan Ketua-ketua Jabatan dan agensi kerajaan yang menjayakan program gotong-royong itu.

Katanya, penglibatan pemimpin-pemimpin masyarakat di daerah ini menunjukkan kesedaran mereka betapa pentingnya pencegahan pembiakan nyamuk aedes dan penularan virus Zika yang boleh memudaratkan kesihatan.

Jelasnya, gotong-royong membersih kawasan persekitaran pekan perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi memasti ia sentiasa kelihatan bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.

Beliau juga meminta pemimpin-pemimpin masyarakat agar menyampaikan informasi yang berkaitan dengan pencegahan wabak denggi dan virus Zika kepada masyarakat di bawah pimpinan masing-masing.

Hadir sama Ketua Daerah Nabawan OKK Sayau Tangkap, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Jubilin Kilan, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.