Projek Bakam Point bernilai RM5 juta bakal dilaksana tahun depan

0

MIRI: Projek Bakam Point mendapat kelulusan Kementerian Pelancongan dengan kos pembinaan keseluruhan RM5 juta dijangka dilaksanakan bermula tahun depan, kata Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang.

Beliau berkata, ketika ini projek itu masih dalam perancangan reka bentuk atau pelan pembangunan kemudahan sesuai dengan idea asal iaitu untuk menarik kehadiran pelancong asing ke situ.

“Projek ini sudahpun mendapatkan kelulusan kerajaan dengan peruntukan RM5 juta dan sebaik sahaja kerja reka bentuk pelan siap, kita menjangkakan projek ini akan dilaksana bermula 2017,” katanya kepada pemberita di Bakam Point di sini semalam.

Menurutnya, antara kemudahan dirancang akan dibina ialah sebuah jeti, prasarana rumah penginapan, kawasan berlabuh perahu nelayan dan menurunkan hasil laut dan sebagainya.

Ahmad Lai berkata Bakam Point Lambir terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari bandar raya Miri bakal menjadi salah satu kawasan ekopelancongan terbaharu di konstituensi Parlimen Sibuti.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan telah meluluskan peruntukan kira-kira RM5 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi pembangunan Bakam Point di sini.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sebelum ini menjelaskan bahawa keseluruhan projek berkenaan melibatkan kos kira-kira RM21.4 juta.

Peruntukan diluluskan iaitu RM5 juta dan ia akan diberi keutamaan dalam RMK11 seperti dituntut kerajaan untuk pembinaan fasa pertama.

Jelasnya, projek itu dijangka merancakkan ekonomi penduduk tempatan khasnya dalam perniagaan kecil-kecilan dan sederhana.

“Pelaksanaan Bakam Point dilihat akan mampu membawa transformasi ekonomi kepada penduduk setempat khasnya dalam bidang keusahawanan, perikanan dan pelancongan,” katanya.

Bakam Point pembangunan amat ditunggu-tunggu sejak 2010 lagi dan idea asalnya pernah disuarakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Lambir Aidan Wing.

Pelaksanaan Bakam Point akan memberi manfaat kepada petani dan nelayan terutama dalam menjual produk atau hasil pertanian secara berpusat di situ.