Sampai hati ibu

0
SUMBANGAN: Florence (dua kanan) bersama ahli jawatankuasa Unit Bergerak Penyayang SPDP Bintulu menyampaikan sumbangan berupa lampin pakai buang dan susu tepung kepada Umban (tengah) yang merupakan penjaga kanak-kanak terbabit.

SUMBANGAN: Florence (dua kanan) bersama ahli jawatankuasa Unit Bergerak Penyayang SPDP Bintulu menyampaikan sumbangan berupa lampin pakai buang dan susu tepung kepada Umban (tengah) yang merupakan penjaga kanak-kanak terbabit.

Budak berusia 14 bulan ditinggalkan sendirian oleh ibunya dalam bilik sewa.

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 14 bulan yang ditinggalkan bersendirian dalam sebuah bilik sewa di rumah berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sebiew Chinese di Batu 5, Jalan Sebiew di sini kini berada di bawah jagaan penyewa lain sementara usaha mengesan ibu kanak-kanak itu tidak  membuahkan hasil.

Kanak-kanak itu kini dijaga oleh Umban Luba yang berkeinginan menjadikan kanak-kanak itu sebagai anak angkatnya dan telah merujuk perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu untuk pertimbangan.

Begitupun, JKM Bintulu menasihati Umban agar menunggu ibu kandung kanak-kanak itu kembali ke pangkuan anaknya dan tampil ke hadapan memperjelas perkara terbabit.

Sebelum itu, seorang pemilik bilik sewa memberitahu bahawa dia menemui kanak-kanak lelaki itu dalam bilik sewa terbabit semasa membersihkan kawasan persekitaran bilik-bilik itu.

“Secara tiba-tiba saya terdengar bunyi suara kanak-kanak menangis pada jam 1 petang lantas memeriksa sebuah bilik sewa dan mendapati seorang kanak-kanak ditinggalkan bersendirian,” katanya di sini.

Berikutan itu, beliau memaklumkan kepada penyewa lain mengenai kanak-kanak terbabit dan berusaha mengesan ibu kandung kanak-kanak itu tetapi gagal.

Jelasnya, telefon bimbit ibu kandung kanak-kanak itu telah dihubungi banyak kali termasuk dengan SMS namun tidak satu pun dijawab.

“Atas dasar perikemanusiaan seorang penyewa lain menyatakan kerelaannya menjaga kanak-kanak itu sementara waktu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Unit Bergerak Penyayang Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bintulu diketuai Florence Teo tampil menghulurkan sumbangan berupa lampin pakai buang dan susu tepung kepada kanak-kanak terbabit.

Sumbangan itu untuk meringankan beban kanak-kanak terbabit dan penjaganya sekali gus membantu golongan memerlukan.