28 individu ditangkap disyaki terlibat kegiatan judi

0
BAHAN BUKTI: Antara barang yang dirampas dalam serbuan tersebut.

BAHAN BUKTI: Antara barang yang dirampas dalam serbuan tersebut.

KUCHING: Seramai 28 individu ditangkap apabila disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam 20 serbuan yang dijalankan dalam tempoh 19 hingga 25 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, individu-individu yang ditangkap berumur dalam lingkungan 16 tahun hingga 60 tahun.

Katanya JSJ Sarawak menjalankan tujuh serbuan manakala daerah Kuching dan Miri masing-masing tiga serbuan sementara Padawan, Bintulu, Sibu, Serian, Sarikei, Betong dan Sri Aman masing-masing satu serbuan.

“Serbuan-serbuan itu membawa kepada penangkapan 28 individu terlibat dalam loteri awam tanpa lesen dan mengendalikan mesin judi.

“Wang tunai berjumlah RM7,861 turut dirampas dalam serbuan-serbuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam. Dev berkata 19 serbuan loteri haram membawa kepada rampasan pelbagai barang seperti alat pencetak mudah alih, telefon bimbit, kalkulator, slip dan lejar pertaruhan.

Jelasnya, lapan daripada serbuan itu dijalankan di kaunter yang beroperasi di kaki lima, empat serbuan di rumah kedai manakala restoran, kedai runcit dan kedai telefon bimbit masing-masing tiga serbuan.

Polis Sarawak akan terus membanteras kegiatan judi di negeri ini dari semasa ke semasa.