Cari jalan tingkatkan pendapatan pekebun

0

Demikian seruan Uggah kepada PPNS terutama dalam aspek pemasaran dan aktiviti hiliran produk pertanian

// Oleh Agnes Tugong //

TINGKAT PENDAPATAN PEKEBUN: PPNS perlu cari pendekatan tingkat pendapatan pekebun terutama dalam aspek pemasaran, aktiviti hiliran.

TINGKAT PENDAPATAN PEKEBUN: PPNS perlu cari pendekatan tingkat pendapatan pekebun terutama dalam aspek pemasaran, aktiviti hiliran.

KUCHING: Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) perlu mencari pendekatan bagaimana untuk meningkatkan pendapatan pekebun terutama dalam aspek pemasaran dan aktiviti hiliran.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata banyak produk pertanian yang dikeluarkan oleh pekebun di negeri ini seperti lada dieksport ke luar negara seperti Singapura.

Singapura selaku pengimport akan mengeksport semula produk lada ini menggunakan jenama mereka sendiri.

“Sebab itu terdapat keperluan untuk kita mengusahakan aktiviti hiliran dan pertubuhan peladang boleh memainkan peranan penting dalam perkara ini.

“Berapa banyak pendapatan dan keuntungan yang dapat kita jana daripada aktiviti hiliran ini, itu saya tidak pasti tetapi kita mahu mengeskport lada serta hasil pertanian yang lain menggunakan jenama kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-31 PPNS di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Tambah Uggah, bagi memantapkan bidang pertanian di negeri ini Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar akan mengadakan satu makmal pada 28 dan 29 September ini.

Makmal tersebut katanya, akan membincangkan perkara-perkara berkaitan pertanian termasuk isu yang berkaitan dengan pertubuhan peladang.

“Bukan sahaja lada, kita berharap makmal itu nanti akan dapat mengenal pasti produk-produk pertanian lain serta kaedah yang boleh digunakan bagi menggalakkan aktiviti hiliran,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata kementeriannya akan mengambil perhatian ke atas cadangan, usul dan isu yang dibangkitkan oleh PPNS.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menjadi penghalang kepada sebarang program dan aktiviti kendalian pertubuhan peladang.

“Terdapat lebih 150,000 ahli pertubuhan peladang di negeri ini dan saya mahu anda menjadi pemangkin dalam kerajaan untuk mentransformasi ekonomi rakyat.

“Harapan saya pada AGM kali ini PPNS dan Pertubuhan Peladang Kecil (PPK) akan membincangkan bagaimana dapat memainkan peranan dalam membantu mentransformasi ekonomi luar bandar,” ujar Uggah.

Pada majlis itu semalam, Uggah turut menyampaikan dividen PPNS berjumlah RM174,359  kepada 28 PPK yang diwakili Pengerusi PPK Belaga Pemanca Tony Kulleh dan penyampaian Kumpulan Wang Kebajikan berjumlah RM84,000 diwakili Pengerusi PPK Serian Pemanca Salbiah Emon.

Turut hadir Menteri Muda Ekonomi Desa (Kawasan Pedalaman) dan Perusahaan Perladangan Datuk Francis Harden Hollis, Pengerusi PPNS Datuk Sylvester Entri Muran serta yang lain.

DIVIDEN: Uggah (dua kanan) menyampaikan replika cek dividen PPNS kepada Pemanca Tony sambil disaksikan Entri (kanan) dan Harden (dua kiri).

DIVIDEN: Uggah (dua kanan) menyampaikan replika cek dividen PPNS kepada Pemanca Tony sambil disaksikan Entri (kanan) dan Harden (dua kiri).