Eksport produk plastik catat pertumbuhan dua angka

0

Dirangsang permintaan terhadap E&E, pembungkusan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA) yakin dapat mencapai pertumbuhan dua angka dalam eksport produk plastik tahun ini dirangsang oleh permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), pembungkusan dan bahan pembinaan.

Naib Presidennya Datuk Raymond Chong Keong Sng berkata eksport produk plastik kekal tidak terjejas walaupun penurunan permintaan daripada industri automotif disebabkan kemerosotan pengeluaran kereta sebanyak 18 peratus dalam tempoh separuh pertama 2016.

“Permintaan lemah daripada industri automotif bagaimanapun diimbangi pertumbuhan sederhana dalam E&E serta industri pembungkusan dan pembinaan.

“Pertumbuhan kami kukuh sejak 10 hingga 20 tahun lepas dipacu daripada penggunaan baharu bagi produk plastik. Kami telahpun mencatatkan peningkatan eksport 6.6 peratus setakat tahun ini. Kami amat yakin ia akan terus berkembang,” kata Chong kepada pemberita semasa seminar Dasar Kerajaan, Kemudahan dan Bantuan bagi Industri Plastik dan Acuan Pembentuk, di sini, semalam.

Beliau berkata 60 peratus daripada pengeluaran plastik di Malaysia dieksport, menyumbang nilai eksport kira-kira RM13 bilion pada 2015.

Produk plastik yang dikilangkan di Malaysia terdiri daripada barangan isi rumah biasa, bahan pembungkusan dan bahagian dan komponen bagi industri E&E, automotif, automasi pejabat, komputer dan telekomunikasi.

Seminar tersebut dianjurkan secara kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), MPMA dan Malaysia Mould and Die Association (MMDA).

“Kami menghargai peranan MIDA dalam memudahkan pelaburan dan pelaburan semula dalam sektor pembuatan,” katanya.

Chong berkata lanjutan elaun pelaburan semula untuk tiga tahun lagi bagi tempoh 2016-2018 akan menggalakkan lebih banyak syarikat mengembangkan operasi mereka.

Saling bergantungan dengan industri plastik ialah industri acuan pembentuk yang memainkan peranan penting dalam bentuk dan tekstur produk akhir.

Presiden MMDA Thay Peng Kee berkata industri acuan pembentuk dijangka mencatatkan pertumbuhan sederhana tahun ini memandangkan peningkatan permintaan terhadap bahagian- bahagoan dan komponen dikilang tempatan.

“Jika berlaku pertumbuhan dalam industri pembuatan maka kami akan seiring dengannya.

“Ketika ini, sektor acuan pembentuk beralih kepada teknologi pembuatan canggih bagi memenuhi permintaan terhadap acuan besar dalam industri automotif dan permintaan bagi acuan telitian tinggi bagi industri E&E dan telekomunikasi,” katanya.

Mengenai perkembangan lain, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk N. Rajendran berkata dua industri itu akan menghantar pekerja mereka ke Singapura bagi menjalani latihan kemahiran teknikal untuk meningkatkan perkhidmatan, keupayaan dan kualiti pengeluaran mereka.

“Buat permulaan, kami menyasarkan Johor terlebih dahulu. Di Johor, kami akan mengenal pasti beberapa institusi yang menjalankan latihan teknikal dan sekiranya perlu, kami akan meluaskannya ke seluruh negara,” katanya. — Bernama