IKM Kuching juara SUMASA edisi ke-8

0
SERAH BENDERA: Dr Abdul Rahman menyampaikan bendera SUMASA kepada Pengetua MRSM Mukah, Maznan Maamor malam kelmarin.

SERAH BENDERA: Dr Abdul Rahman menyampaikan bendera SUMASA kepada Pengetua MRSM Mukah, Maznan Maamor malam kelmarin.

KUCHING: Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuching mengesahkan juara keseluruhan milik mereka apabila berjaya meraih lapan pingat emas, tujuh perak dan lapan gangsa pada Sukan Mara Sarawak (SUMASA) Ke-8 berakhir malam kelmarin.

Mencatat rekod pungutan mata keseluruhan sebanyak 286 mata, kemenangan itu sekali gus menyingkirkan enam pesaing lain termasuk Pejabat Mara Negeri (PMN) Sarawak di tempat kedua, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah (ketiga), MRSM Betong (keempat), MRSM Kuching (kelima) dan IKM Bintulu (keenam).

Hadir merasmikan penutupan kejohanan di Dewan Sri Merpati IKM Kuching ialah Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi.

Berucap pada majlis itu, beliau berkata penganjuran sukan peringkat agensi amat digalakkan kerana sukan menjadi landasan menyumbang imej positif menerusi semangat pertandingan yang sihat, setiakawan, tolak ansur dan toleransi, kesefahaman serta pembinaan moral dan fizikal yang berkualiti.

“Penganjuran SUMASA dapat menjadi wadah kakitangan MARA Sarawak bertemu dalam suasana semangat kesukanan tinggi selain membuka peluang melahirkan bakat-bakat dalam sukan dan permainan.

“Pada masa sama mengukuhkan persaudaraan kalangan warga kerja MARA berkonsepkan ‘Hidup Sihat Generasi Hebat’ kerana setiap peserta berusaha bersungguh- sungguh untuk menang secara langsung dapat merapatkan persahabatan sesama peserta.

“Dalam erti kata lain, sukan mampu memberi manfaat amat besar kepada individu dan organisasi sekali gus melahirkan kakitangan MARA yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual,” katanya.

Beliau juga berharap kejohanan seumpama itu berjaya merealisasikan hasrat kerajaan membentuk kakitangan perkhidmatan awam yang sihat, cergas, berdisiplin dan berkualiti.

Usaha itu membuka peluang jalinan kerjasama sesama warga MARA dalam mempergiat, memperkasa dan memartabatkan MARA Sarawak pada masa akan datang.

“Kita berharap sukan ini berupaya memberi impak kepada setiap individu terlibat justeru tahniah diucapkan kepada pemenang dan bagi kontinjen kurang bernasib baik anda perlu melipatgandakan usaha mendapatkan pencapaian terbaik pada tahun hadapan,” jelasnya.

Kejohanan itu disertai kira-kira 400 peserta mewakili tujuh kontinjen seluruh Sarawak bertarung dalam 14 jenis sukan termasuk badminton, pingpong, dart, karom, congkak, catur, menyumpit, petanque, petanque VIP, bola sepak, bola tampar, bola jaring, sepak takraw dan boling.

Kejohanan tersebut memilih MRSM Mukah sebagai tuan rumah seterusnya pada 2017.

Turut hadir Pengarah MARA Sarawak, Megat Zakaria Maget Ahmad yang merupakan Penaung Jawatankuasa Tertinggi SUMASA dan Pengarah IKM Kuching, Mohd Ridhwan Abd Yazid.