Individu dikenal pasti

0

Pencarian presiden FAS yang baharu bakal berakhir minggu ini

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

KUCHING: Isu pencarian presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) baharu bakal berakhir minggu ini setelah seminggu jawatan tersebut kekal kosong sejak Mesyuarat Agung FAS 2016 berlangsung pada 17 September lalu.

Angin spekulasi yang bertiup kencang dalam arena bola sepak Sarawak apabila beberapa individu dikaitkan dengan kerusi panas itu termasuk ahli politik di peringkat negeri dan persekutuan.

Terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop merangkap Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdullah Saidol antara yang terpilih untuk merajui badan induk bola sepak negeri itu.

Namun, faktor komitmen terhadap tugas menjadi sebab Abdullah terpaksa menolak tawaran menggantikan bekas presiden, Datu Sudarsono Osman.

Sudarsono ketika diminta mengulas berhubung usaha Exco FAS mencari penggantinya, berkata pemimpin persatuan itu bakal diketahui dalam masa terdekat.

“Tidak lama lagi seorang pengganti dikenal pasti mungkin dalam minggu ini,” katanya sambil menjelaskan sukar baginya untuk memberi bayangan individu yang bakal mengisi kekosongan itu kerana tidak terlibat dalam pencarian calon.

Apa yang penting, sesiapa sahaja yang mengambil alih tugas itu, katanya perlu mempunyai dan komitmen tinggi terhadap bo-la sepak Sarawak.

Menjelaskan perkara itu, Sudarsomo berkata komitmen merupakan penyumbang kepada gerakan strategi dan pelan untuk terus membangunkan sukan bola sepak negeri ini.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu turut yakin dengan perkembangan generasi pelapis untuk diberi peluang menyertai pasukan senior.

“Adalah menjadi cita-cita kita mempunyai pasukan Sarawak yang dianggotai oleh pemain-pemain Sarawak sendiri dengan gabungan pemain import,” katanya ketika mengulas nasihat Ketua Menteri baru-baru ini agar pemain-pemain tempatan diberi peluang me-nyertai pasukan negeri.

Beliau percaya usaha mengembangkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi menerusi skuad bawah 19 tahun (belia) dan bawah 21 tahun (Pia-la Presiden) akan berjaya.

“Buktinya, dalam aksi menentang Felda United malam Sabtu lalu dua daripada tiga gol dijaringkan pemain muda kita iaitu Tommy Mawat dan Nur Shamie.

“Harapan saya kalau mengikut perkembangan sekarang mungkin musim depan atau paling lewat dua tahun lagi, kita mempunyai ramai pemain muda tempatan yang sudah sedia untuk diketengahkan dalam Liga Super,” katanya.