LBR medan cungkil bakat baharu

0

KUCHING: Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) disifatkan sebagai gelanggang mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan bagi mewakili negara, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah.

Menurutnya, pembangunan bola sepak di Malaysia terus diperkembangkan termasuk melahirkan pasukan wanita yang kini menjadi salah satu keutamaan badan induk itu.

Katanya, penekanan turut diberikan terhadap pembangunan pasukan bola sepak wanita negara.

Ia selaras dengan galakan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi keutamaan kepada pasukan wanita.

Sehubungan itu, Afandi menjelaskan pihaknya menghidupkan kembali penganjuran kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah.

Bagaimanapun, katanya, hasil penilaian selepas pelaksanaan kejohanan tersebut pasukan bola sepak wanita masih perlu diberi pendedahan melalui penyertaan pertandingan.

“Jadi, kita fikir, LBR adalah salah satu pendekatan yang perlu kita ambil untuk mengembangkan penglibatan wanita dalam sukan bola sepak,” katanya ditemui pada majlis makan malam sempena pelancaran LBR 2016 di sini malam kelmarin.

Justeru itu, katanya FAM bersetuju bekerjasama dengan jawatankuasa LBR menganjurkan kejohanan serupa bagi kategori wanita awal musim depan.

“Kita (FAM) bersetuju dengan cadangan LBR menganjurkan liga bola sepak yang membabitkan pasukan wanita dalam LBR tahun depan dijangka bermula pada Januari 2017,” katanya.

Beliau berharap melalui kejohanan seperti ini dapat mencari bakat-bakat baharu untuk diketengahkan bagi mewakili negara terutamanya menjelang Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Afandi mendedahkan Malaysia menghantar empat pasukan termasuk skuad bola sepak lelaki dan wanita serta skuad futsal lelaki dan wanita pada temasya itu nanti.

Turut hadir Pengerusi LBR, Datuk Dr Shamsul Anuar, Naib Presiden FAM, Datuk Sudarsono Osman serta barisan jawatankuasa eksekutif LBR.