Lelaki India cedera diserang empat lelaki dikenali

0
CEDERA: Mangsa dengan kesan lukanya membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu semalam.

CEDERA: Mangsa dengan kesan lukanya membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu semalam.

SIBU: Seorang lelaki warga India cedera di beberapa bahagian badannya selepas diserang empat orang lelaki dikenali.

Kejadian dipercayai berlaku jam 11 malam di Jalan Maju di sini berhampiran sebuah bangunan kedai.

Dalam insiden itu, mangsa dipukul oleh kumpulan lelaki terbabit menggunakan kayu dan tangan.

Mangsa berada di sini sejak dua tahun lalu bagaimanapun berjaya melarikan diri daripada kepungan keempat-empat lelaki terbabit dan meminta bantuan polis.

Siasatan awal mendapati keempat-empat lelaki terbabit ejen pekerja.

Mereka dipercayai cuba menakutkan mangsa supaya kembali ke India.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga emas menjadi mangsa kes buli jalan raya.

Insiden itu dilaporkan berlaku kelmarin sekitar jam 6 petang.

Sebelum kejadian mangsa bersama isteri dan menantu perempuannya memandu kereta selepas pulang membeli-belah.

Semasa melalui sebatang lorong Jalan Pelawan di sini seorang pemandu kereta berasingan di bahagian belakang membunyikan hon.

Difahamkan mangsa memandu agak perlahan kerana lorong berkenaan agak sempit.

Selepas suspek membunyikan hon keretanya berkali-kali, mangsa kemudian memberhentikan kereta di tepi jalan memberi laluan.

Namun tanpa diduga, suspek keluar dari kereta dan menampar mangsa melalui tingkap kereta mangsa yang terbuka.

Selain itu, suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat ke arah mangsa sebelum masuk semula ke dalam keretanya dan beredar.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan siasatan lanjut dilakukan.