Pelakon drama, anak ‘datuk’ ditahan dalam serbuan dadah

0
BAHAN BUKTI: Amar Singh (tiga kanan) menunjukkan pedang samurai yang merupakan antara barang rampasan selain pokok ganja dan senjata lain, semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

BAHAN BUKTI: Amar Singh (tiga kanan) menunjukkan pedang samurai yang merupakan antara barang rampasan selain pokok ganja dan senjata lain, semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon drama dan seorang anak ‘Datuk’ adalah antara tiga lelaki yang ditahan di sebuah banglo di Jalan Ampang Ulu di sini kerana disyaki terlibat dalam penanaman pokok ganja, mengguna dan menjual dadah itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata turut ditahan seorang lelaki warga Filipina yang bekerja di sebuah syarikat pengurusan teknologi maklumat di sini.

Katanya ketiga-tiga suspek berusia antara 29 dan 36 tahun, termasuk anak kepada pemilik banglo berkenaan yang turut memiliki sekolah persendirian antarabangsa, ditahan dalam serbuan pukul 12.40 tengah hari Sabtu lalu.

“Pemeriksaan ke atas rumah itu turut menjumpai tiga pasu disyaki pokok ganja berketinggian 19 hingga 100 sentimeter, dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan berat lebih 400 gram dan satu tiub straw mengandungi benih disyaki benih ganja,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Selain itu, turut dirampas adalah bahan dan peralatan menanam pokok ganja, empat pistol angin pelbagai jenis, dua senapang angin pelbagai jenis, tujuh pedang samurai dan 19 pisau pelbagai jenis, sehelai vest polis dan satu lampu beacon.

“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Amar Singh berkata benih itu dipercayai diseludup dari United Kingdom dan aktiviti menanam ganja berkenaan dikatakan aktif sejak empat bulan lepas.

Katanya dadah berkenaan dipercayai digunakan untuk kegunaan sendiri selain dijual.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah, dan kesemua mereka ditahan reman selama enam hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. — Bernama