Tiada PRN untuk bantah cadangan kajian persempadanan SPR, kata DAP

0

GEORGE TOWN: Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang tidak bercadang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membantah cadangan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri sebaliknya akan mengemukakan bantahan kepada SPR sebagai pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata isu mengadakan PRN bagi membantah cadangan persempadanan itu di Pulau Pinang sebenarnya tidak berbangkit.

“Saya rasa kalau nak buat PRN, sudah buat tetapi…buat masa sekarang perkara itu tidak berbangkit,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyatakan Pakatan Harapan negeri akan bermesyuarat bagi mendapatkan pendirian bersama dalam membantah cadangan kajian persempadanan itu.

Bagaimanapun, Chow yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri berkata beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan itu yang diadakan kelmarin.

Katanya, beliau difahamkan kerajaan Pulau Pinang akan meneliti impak kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu sebelum menentukan tindakan yang akan diambil.

“Kajian mengenai perkara itu mungkin dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Menurutnya kerajaan Pulau Pinang merancang untuk menggunakan kuasa sebagai pihak berkuasa tempatan bagi mengemukakan bantahan berhubung proses persempadanan semula itu.

Pada 13 Sept lepas, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Semua pihak diberi masa sebulan sehingga 14 Okt untuk mengemukakan bantahan masing-masing. — Bernama