Bangkitlah, bukti kemampuan kita

0
SEMANGAT WAJA: Fatimah dan Abdul Rahman (berdiri tengah) bergambar beramai-ramai bersama atlet dan pegawai kontinjen Sarawak selepas majlis penyerahan bendera di APMM semalam. — Gambar Chimon Upon

SEMANGAT WAJA: Fatimah dan Abdul Rahman (berdiri tengah) bergambar beramai-ramai bersama atlet dan pegawai kontinjen Sarawak selepas majlis penyerahan bendera di APMM semalam. — Gambar Chimon Upon

Fatimah seru atlet orang pekak negeri berjuang lakar pencapaian cemerlang pada SOPMA Ke-19

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah menyeru atlet orang pekak Sarawak bangkit membuktikan kemampuan mereka pada Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke- 19.

Beliau juga mahu atlet istimewa itu menjadikan kejayaan atlet Sukan Paralimpik Rio dan Sukan Paralimpik Kebangsaan Ke-18 sebagai motivasi dan inspirasi untuk meraih kejayaan cemerlang pada temasya yang akan berlangsung di sini dari 30 September hingga 6 Oktober 2016.

“Kita berdepan kekangan bajet untuk menghantar skuad penuh pada SOPMA 2014 di Melaka.  Situasi dan halangan ini perlu kita tempuhi bersama.

“Bagaimanapun, dengan Sarawak dipilih sebagai tuan rumah SOPMA tahun ini, kita akan membentangkan permohonan peruntukan sebanyak RM2.2 juta esok (hari ini).

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada dasarnya telah bersetuju dengan permohonan ini,” ujar beliau pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak bertempat di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Muara Tebas semalam.

Menyedari cabaran dan halangan yang bakal dihadapi, Fatimah mengingatkan atlet istimewa bahawa mereka ada dua pilihan, sama ada menyerah kalah atau mengharungi setiap kesukaran dengan penuh kesabaran untuk memburu kejayaan gemilang.

“Kini lebih ramai orang mengiktiraf kebolehan atlet khas terutama dengan kejayaan cemerlang atlet negara pada Sukan Paralimpik.

Sekarang giliran anda untuk menonjolkan kepada masyarakat semangat tidak mengaku kalah dan luar biasa anda itu,” katanya lagi.

Beliau juga mahu atlet Sarawak memanfaatkan sepenuhnya kelebihan bersaing di tempat sendiri untuk memburu gelaran juara keseluruhan.

“Buatkan yang terbaik untuk melakar keputusan yang lebih cemerlang berbanding yang dicatat di Melaka pada 2014,” tambah beliau.

Pada majlis itu, Fatimah menyerahkan bendera kepada Ketua Kontinjen Abang Samsudin Abang Jeruji sebelum menyerahkan semula kepada pemenang pingat emas acara lompat jauh SOPMA 2014, Carries Kepari yang turut mengambil bahagian pada edisi kali ini.

Hadir sama Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti Dr Abdul Rahman Ismail, Ketua Penguat Kuasa APMM Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Ismaili Bujang Pit, Penolong Ketua Kontinjen Abdul Aziz dan wakil dari Jabatan Pendidikan Sarawak Rose Lucy.

SOPMA Ke-19 dianjurkan oleh Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti dan kerjasama Persatuan Orang Pekak Negeri Sarawak.

Ia mempertandingkan empat acara sukan iaitu bola sepak (Padang C & D, Petra Jaya), badminton (Dewan Persatuan Badminton Sarawak), tenpin boling (Megalane Batu Kawa) dan olahraga (Stadium Negeri).

Sejumlah 180 pingat emas dipertaruhkan membabitkan penyertaan 615 atlet dan 77 pegawai dari 12 kontinjen.

Sarawak menurunkan kontinjen terbesar dengan kekuatan seramai 105 atlet untuk memburu 12 pingat emas, sekali gus bergelar juara keseluruhan.

Adenan dijangka merasmikan perasmian kejohanan pada 1 Oktober bertempat di Stadium MBKS, Pending jam 7.30 malam.

Manakala, Fatimah dijangka merasmikan penutupan kejohanan pada 6 Oktober di venue dan jam sama.