Jerut, tikam ibu

0

Oleh Jeremy Lanson//

DIREMAN: Kedua-dua suspek yang menyerah diri di IPD Kota Samarahan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

DIREMAN: Kedua-dua suspek yang menyerah diri di IPD Kota Samarahan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

KOTA SAMARAHAN: Polis masih menjalankan siasatan terhadap dua remaja lelaki yang didakwa menyerang dan menikam perut seorang wanita iaitu ibu kepada seorang daripada mereka dalam satu insiden malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata, siasatan terperinci dijalankan selepas mangsa dan kedua-dua suspek memberi kenyataan berbeza berhubung punca kejadian itu.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam kelmarin mengakibatkan mangsa, 43, cedera di perut serta anggota badannya selepas diserang oleh kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 15 tahun.

“Anak (suspek) mangsa yang duduk di kerusi belakang bertindak menjerut leher ibunya menggunakan tali pinggang sehingga mengakibatkan mangsa terpaksa memberhentikan keretanya serta-merta.

“Rakan anak mangsa yang juga duduk di kerusi belakang bertindak menikam perut mangsa menyebabkan mangsa yang cuba menyelamatkan diri turut mengalami kecederaan di tangan serta anggota badan.

“Kedua-dua suspek melarikan diri apabila anak mangsa (perempuan) berusia sembilan tahun yang duduk di kerusi hadapan menjerit meminta tolong,” kata Dev dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Bagaimanapun, menurut Dev, kedua-dua suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan pada lewat malam hari yang sama.

“Mangsa yang cedera telah dikejarkan oleh jiran mereka ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan sebelum dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut.

“Manakala, kedua-dua suspek tampil menyerah diri pada jam 12.15 pagi (semalam) dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” kata Dev.

Tambahnya, kejadian berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang selepas mangsa menjemput kedua-dua suspek dari sebuah pusat tuisyen di Taman Desa Ilmu, di sini.

“Motif kejadian masih belum jelas kerana kedua-dua suspek dan mangsa memberikan kenyataan berbeza.

“Selain itu, ujian air kencing juga telah dibuat ke atas kedua-dua suspek dan didapati mereka negatif dadah,” kata Dev.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HUS.