Cubaan seludup ganja tumpas

0

Oleh Jeremy Lanson//

DIRAMPAS: Abang Ahmad (tiga kiri) bersama para pegawai JSJN IPD Kuching menunjukkan ganja tersebut.

DIRAMPAS: Abang Ahmad (tiga kiri) bersama para pegawai JSJN IPD Kuching menunjukkan ganja tersebut.

KUCHING: Cubaan menyeludup masuk dadah jenis ganja yang dibungkus menyerupai kek lapis berjaya dipatahkan dengan tertangkapnya seorang gadis bersama seorang anggota polis bantuan di Jalan Song di sini, kelmarin.

Gadis berusia 19 tahun yang dipercayai pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi itu ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) selepas menuntut bungkusan tersebut yang mengandungi kira-kira satu kilogram (kg) ganja sekitar jam 12.20 tengah hari Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai yang mengesahkan tangkapan itu memberitahu, penangkapan gadis terbabit membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 26 tahun dan polis turut berjaya merampas 11 gram ganja.

“Terdahulu, gadis terbabit ditahan di tempat letak kereta di Jalan Song selepas dikatakan menuntut bungkusan mengandungi ganja tersebut yang dihantar dari Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier.

“Susulan tangkapan itu, anggota JSJN IPD Kuching kemudian menahan seorang lelaki yang merupakan anggota keselamatan dan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di Jalan Cenderawasih berjaya merampas ganja sekitar 475.31 gram.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah jenis ganja ialah 1.5 kg dengan nilai rampasan berjumlah RM26,656,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Tambahnya, kedua-dua suspek yang ditahan berhadapan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek baharu berkenalan sejak dua bulan lepas dan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap mereka juga mendapati kedua-dua mereka negatif dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” kata Abang Ahmad.

Menurutnya juga, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 16 kes di bawah Seksyen 39(b) di Kuching pada tahun ini melibatkan perlbagai jenis dadah. Bagaimanapun, rampasan baru-baru ini membayangkan permintaan bagi ganja sekarang semakin meningkat.

“Justeru, kita menyeru orang awam agar dapat menyalurkan maklumat kepada polis terutamanya berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya.