LAS kesal komplikasi air di luar jangkaan

0

SIBU: Lembaga Air Sibu (LAS) kesal dengan komplikasi di luar jangkaan dalam rawatan air berlaku pada 29 September lalu jam 2.30 pagi menyebabkan tekanan air rendah berlaku.

Menurut kenyataan media LAS di sini semalam, dalam usaha mengekalkan kesinambungan bekalan air, pihaknya mengubah tekanan mengepam kedua-dua Loji Rawatan Salim dan Loji Rawatan Bukit Lima.

Jelasnya, hasil pengubahan itu beberapa kawasan mengalami tekanan air rendah antara jam 6 pagi hingga 2 petang.

“Masalah ini berjaya diselesaikan sepenuhnya jam 2 petang dan tekanannya pulih beransur-ansur.

“Bagaimanapun, disebabkan khabar angin tersebar menerusi WhatsApp kononnya kami mengalami permintaan air tinggi sehingga mengurangkan dengan ketara paras air takungan di Teku dan Stesen Booster Deshon sekali gus menyebabkan pemberhentian mengepam selama dua jam,” jelas kenyataan itu.

Oleh itu, beberapa kawasan di Teku, Deshon, Sungai Merah, Jalan Ding Lik Kong dan Jalan Quarry mengalami tekanan air rendah atau tidak ada air.

“Bekalan kembali pulih secara beransur-ansur selepas jam 9.30 malam (kelmarin).

“Kami berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih menyebabkan kesulitan kedua-dua pihak iaitu LAS dan pengguna,” katanya sambil berterima kasih kepada pelanggan kerana kesabaran dan pemahaman sepanjang masalah itu.