Lelaki ditahan selepas disyaki mencabul bayi

0

SIBU: Seorang suspek lelaki dipercayai melakukan perbuatan terkutuk kerana disyaki mencabul seorang bayi perempuan berumur setahun empat bulan minggu lalu berjaya ditahan polis di sebuah rumah tumpangan di sini sekitar jam 6.45 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan suspek, 22, terbabit berasal dari Hulu Mam, Kanowit kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Oktober.

Pada Jumaat lalu, suspek dipercayai berada di kawasan perumahan di Jalan Hardin untuk mencari rumah sewa.

Suspek dikatakan terserempak dengan seorang budak lelaki berumur dalam lingkungan enam tahun di situ.

Difahamkan, suspek dipercayai mengambil kesempatan masuk ke dalam rumah setelah mengetahui hanya budak lelaki dan adiknya sahaja berada di situ.

Suspek juga dipercayai menghampiri buaian di mana seorang bayi perempuan sedang tidur.

Suspek kemudian dipercayai menyelak lampin pakai buang bayi tersebut dan bertindak memasukkan jari telunjuk kirinya ke dalam alat sulit bayi perempuan itu menyebabkannya menangis.

Apabila bayi tersebut menangis, suspek terus meninggalkan tempat itu, namun suspek telah terserempak dengan ibu mangsa semasa keluar dari rumah terbabit dalam keadaan tergesa-gesa.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana mencabul bayi.