Mati selepas minum bersama

0
SUDAH AJAL: Beberapa anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Miri.

SUDAH AJAL: Beberapa anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Miri.

MIRI: Seorang tukang simen dijumpai mati oleh isterinya beberapa minit selepas minum bersama dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah sedang diubah suai di Pujut 8 di sini pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Sudin Malina, 45, dan berasal dari Rumah Jipun, Sungai Lijau, Song.

Difahamkan, mangsa dan isteri serta beberapa rakan sekerja lain ditugaskan oleh majikan menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian sebuah rumah di kawasan Pujut 8 di sini.

Mereka pergi ke sana sekitar jam 8 pagi dengan dihantar oleh majikan.

Sekitar jam 9 pagi, mangsa dan isteri serta rakan sekerja lain berhenti rehat sambil minum pagi bersama sebelum mangsa memberitahu hendak ke tandas sementara yang dibina di belakang rumah sedang dibaik pulih.

Setelah mendapati mangsa tidak muncul-muncul, sekitar jam 9.30 pagi, isterinya terus pergi ke kawasan belakang untuk mencarinya.

Alangkah terkejutnya si isteri apabila ternampak sekujur tubuh suaminya sedang terbaring tidak jauh dari tandas berkenaan.

Semasa ditemui, mangsa sudah tidak bernyawa dan serentak itu isterinya terus memaklumkan rakan sekerja lain untuk meminta bantuan.

Mangsa dipercayai tiba-tiba pengsan sebaik keluar dari tandas menyebabkan beliau terjatuh.

Sementara itu, isteri mangsa ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu tidak pernah mendengar suaminya mengadu sakit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tidak terdapat sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah pada badan mangsa.

Justeru itu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.