Tumpahan kimia merkuri di Klinik Kesihatan Julau

0

JULAU: Satu insiden tumpahan kimia jenis merkuri berlaku di Klinik Kesihatan Julau, di sini petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata kejadian itu berlaku sekitar jam 3.30 petang.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan bomba diketuai Pegawai Bomba Herman Basa bersama lapan orang anggota lain bergegas ke Klinik Kesihatan Julau terletak lebih kurang 43 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor.

“Ketika tiba di lokasi anggota bomba dimaklumkan bahawa satu set ‘Sphygmomano Meter’ (Blood Pressure Set) terletak di Bilik Ubat klinik terbabit bocor akibat terjatuh sewaktu disimpan di dalam stor.

“Berikutan itu, anggota bomba bertindak memberi khidmat khas membersih sisa kebocoran itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kerja-kerja membersih tumpahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh lebih kurang 20 minit.

Sisa-sisa tumpahan dan set ‘Sphygmomano Meter’ yang bocor dibawa keluar dari bangunan dihantar ke tapak pelupusan khas.

Tiada sebarang kecederaan dan kejadian tidak diingini berlaku.