Wanita dinasihat waspada penipuan cinta

0

Oleh Jeremy Lanson//

SELAMAT HARI JADI: Abang Ahmad (dua kiri) menyaksikan seorang anggota polis meniup lilin sebagai tanda meraikan hari jadi pegawai dan kakitangan rendah yang dilahirkan pada bulan September.

SELAMAT HARI JADI: Abang Ahmad (dua kiri) menyaksikan seorang anggota polis meniup lilin sebagai tanda meraikan hari jadi pegawai dan kakitangan rendah yang dilahirkan pada bulan September.

KUCHING: Polis menasihati golongan wanita sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa ‘Love Scam’ atas talian ekoran peningkatan kes hampir tiga kali ganda dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Daerah (KPD) ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, dalam tempoh tersebut sebanyak 33 kes penipuan dalam talian dilaporkan di Kuching sahaja berbanding hanya 11 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah kerugian yang dialami mangsa dalam kes-kes tersebut turut melonjak daripada RM516,520 pada 2015 kepada RM1,438,845 pada tahun ini.

“Kerugian terbesar ditanggung seorang penjawat awam wanita berusia 50 tahun, yang membuat laporan pada hujung Ogos selepas dia memberi RM436,870 kepada seorang lelaki yang kononnya dari Eropah dan dikenalinya menerusi Facebook.

“Mangsa mengenali lelaki itu pada pertengahan April tahun ini dan menyimpan RM333,518 ke dalam pelbagai akaun atas permintaan lelaki tersebut.

“Pada pertengahan Ogos, mangsa menyimpan sebanyak RM103,352 lagi ke dalam sebuah lagi akaun selepas kawannya memberitahu mangsa dia telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam perjalanan untuk berjumpa dengannya dan memerlukan wang tersebut untuk membolehkannya dilepaskan,” kata Abang Ahmad kepada pemberita selepas mengetuai perbarisan bulanan di Balai Polis Tabuan Jaya di sini semalam.

Abang Ahmad berkata, satu lagi taktik yang digunakan ialah dengan memberitahu mangsa bahawa mereka sudah mengirim sebuah bungkusan berharga kepada mangsa, namun ditahan oleh pegawai kastam.

“Mangsa kemudian akan dihubungi seseorang yang mendakwa diri dari jabatan tersebut dan meminta sejumlah wang tunai disimpan ke dalam sebuah akaun untuk membolehkan pelepasan bungkusan yang tidak wujud itu,” tambahnya.

Menurutnya lagi, dalam kebanyakan kes, mangsa penipuan cinta ini biasanya wanita bujang atau ibu tunggal dalam lingkungan usia lewat 30-an dan awal 40-an.

“Berdasarkan maklumat yang kami kumpul, kami juga mendapati mangsa biasanya wanita berkerjaya yang telah menyimpan wang yang agak banyak.

“Mereka adalah golongan yang biasanya disasari, yang menghabiskan masa berbulan-bulan untuk memikat dan mendapatkan kepercayaan mereka sebelum memasang jerat apabila mereka yakin mangsa benar-benar sudah jatuh cinta dengan mereka,” kata Abang Ahmad.

Kebanyakan suspek, tambahnya, menggunakan gambar lelaki yang kelihatan seperti orang Eropah untuk profil dalam talian bagi menarik perhatian mangsa mereka, tetapi tangkapan pada masa lalu yang dibuat oleh polis di seluruh negara menunjukkan pelaku biasanya berasal dari Afrika.

“Nasihat saya kepada mereka yang kini terbabit dalam hubungan dalam talian adalah mudah, jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis daripada kenalan anda dalam media sosial dan buat pemeriksaan latar belakang yang terperinci sebelum membuat sebarang pemindahan atau transaksi kewangan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya sempena perbarisan bulanan, Abang Ahmad menyeru anggota-anggotanya untuk terus berusaha gigih bagi memastikan kadar jenayah di daerah berkenaan terus menurun.

Beliau berkata, daerah itu mencatatkan penurunan sebanyak 13.98 peratus dalam jumlah kes yang dilaporkan daripada 1,345 kes dalam tempoh sembilan bulan pertama pada tahun lepas kepada 1,157 kes dalam tempoh yang sama pada tahun ini.

Turut hadir pada perhimpunan semalam ialah Timbalan KPD (Operasi) Superintenden Abang Junaidi Abang Anuar dan Timbalan KPD (Pentadbiran) Superinetnden Ismail Mahmood.