Yakin siap ikut jadual

0
TAKLIMAT: Fadillah (kanan) mendengar penjelasan daripada pihak berkaitan semasa mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Jambatan Batang Samarahan, semalam. Turut kelihatan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang (dua kanan) serta yang lain.

TAKLIMAT: Fadillah (kanan) mendengar penjelasan daripada pihak berkaitan semasa mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Jambatan Batang Samarahan, semalam. Turut kelihatan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang (dua kanan) serta yang lain.

Beberapa projek infrastruktur sedikit lewat, namun kontraktor dijangka dapat mengejar masa agar siap ikut jadual.

Oleh Jessica Jawing //

KOTA SAMARAHAN: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yakin beberapa projek infrastruktur di Sarawak yang mengalami sedikit kelewatan akan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Projek tersebut termasuk pembinaan Jambatan Batang Samarahan yang setakat ini telah mencapai lebih kurang 44 peratus dan dijangka siap pada 29 Januari 2018.

“Projek ini mengalami sedikit kelewatan disebabkan ada beberapa masalah di tapak di mana sebahagian daripadanya telah diselesaikan termasuk masalah tanah, yang mana cuma sedikit masalah teknikal lagi dihadapi kontraktor.

“Namun, saya yakin dengan kebolehan serta rekod kontraktor, mereka dapat mengejar masa dalam tempoh enam bulan, dan kita percaya projek ini dapat disiap seperti dijadualkan atau lebih awal,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Jambatan Batang Samarahan di sini, semalam.

Menurut Fadillah, kos keseluruhan projek itu menelan RM94 juta dengan pembinaan jambatan sepanjang 774 meter merentasi Batang Samarahan serta menyediakan dua lorong dan dua hala.

Terbinanya jambatan berkenaan, ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 70,000 penduduk di Asajaya yang ingin ke Kuching dan Samarahan dengan masa yang lebih jimat.

Mengulas lanjut projek yang masih mengalami sedikit kelewatan, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, ia termasuk kerja naik taraf jalan Kuching-Serian dari Batu 10 sehingga Batu 15, yang merupakan sebahagian daripada projek Lebuh Raya Pan Borneo.

“Projek ini dilaksana menggunakan peruntukan perbelanjaan pembangunan yang dikelolakan terus daripada Kementerian Kerja Raya dan agensi pelaksana adalah JKR Sarawak, dan ia juga mengalami sedikit kelewatan.

“Jalan ini mempunyai banyak cabaran termasuk kesibukan lalu lintasnya, ia juga memerlukan banyak kerja-kerja pengalihan utiliti. Setakat ini perkembangan kerja mereka adalah lebih kurang 11.75 peratus yang sepatutnya pada tempoh ini mereka sudah mencapai 22 peratus perkembangan,” tegasnya sambil memberitahu projek juga dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Beliau pada masa yang sama berharap kontraktor terlibat meningkatkan aspek pengurusan lalu lintas di kawasan itu kerana ia merupakan jalan paling sibuk selain mempunyai ramai pengguna jalan raya.

Jelasnya, kontraktor perlu memberi notis sepatutnya selain tanda amaran bagi memastikan faktor keselamatan pengguna diambil kira.

“Selain itu, antara jambatan yang turut mengalami masalah dari segi pelaksanaan adalah Jambatan Sungai Rimbas, Pusa di Betong, di mana projek itu kini hanya mencapai 76.3 peratus berbanding sepatutnya pada masa ini mereka harus berada pada tahap 93.8 peratus.

“Kami akan memantau perkara ini dan jika mereka tidak dapat menyelesaikan perkara ini, kita mungkin akan mencari kontraktor lain sebagai penyelamat untuk menyiapkan projek yang kita anggap kritikal bagi memudahkan masyarakat setempat,” kata Fadillah.

Projek membina jambatan menghubungkan Emart di Matang dan Stapok di Batu Kawa juga antara yang dijangka mengalami sedikit kelewatan, di mana projek kini hanya mencapai 21.5 peratus yang sepatutnya pada tempoh ini pada tahap 24.3 peratus.

Namun, kata Fadillah, projek juga diyakini mampu dilaksana dalam tempoh tertentu dan berharap kontraktor dapat meletakkan lebih banyak jentera dan pekerja untuk mengatasi masalah berlaku.

Mengenai projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) Fadillah berkata, satu projek di Bintulu iaitu pembinaan jejambat di Jalan Medan Jaya/Jalan Tun Hussien Onn telah diluluskan dan masih dalam proses melantik perunding sebelum proses tender dilaksanakan.

“Sementara cadangan membina Jambatan Batang Lupar secara prinsipnya telah diluluskan dan kaedah pembiayaan projek itu nanti ialah 50 peratus daripada kerajaan persekutuan dan 50 peratus daripada kerajaan negeri.

“Buat masa ini jangkaan awal kita jika tidak ada masalah, menjelang hujung tahun 2017 kita boleh memulakan proses tender,” katanya.