Hayati makna hijrah

0

Oleh Saleman Senin//

PENERIMA: Tun Taib bersama penerima Anugerah Maal Hijrah 1438H/2016M merangkumi pelbagai kategori di Betong semalam.

PENERIMA: Tun Taib bersama penerima Anugerah Maal Hijrah 1438H/2016M merangkumi pelbagai kategori di Betong semalam.

BETONG: Sambutan Maal Hijrah membawa  pengertian mendalam dalam konteks penghijrahan bagi umat Islam di negeri ini seiring dengan kemajuan dunia masa kini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata penghijrahan minda rakyat negeri ini begitu terbuka untuk bersatu dalam menggembleng tenaga membangunkan negeri adalah simbol kejayaan membawa kepada kemajuan yang dapat direalisasikan dengan kewujudan pembangunan di setiap kawasan.

Menurut beliau, khalifah Islam berhijrah demi kepentingan pentadbiran agama yang bersatu demi kedamaian dan membawa maksud perpaduan dalam hubungan bermasyarakat seperti tersurat dalam sejarah kebangkitan Islam di dunia ini.

“Dalam makna lebih luas, hijrah difahami sebagai perubahan daripada keadaan lemah kepada kuat, daripada lama kepada baharu dan hijrah itu sendiri mengandungi falsafah transformasi, inovasi dan kreativiti berasaskan nilai-nilai mulia dan kebersamaan masyarakat berbilang kaum seperti di negeri ini.

“Saya percaya dengan semangat toleransi yang tinggi dan sikap hormat menghormati selama ini menjadi amalan kita jelas menjadikan negeri ini sentiasa stabil dan pesat dari sudut pembangunan ekonomi, politik dan sosial.

“Berdasarkan semangat Maal Hijrah yang kita raikan hari ini dalam konteks kehidupan di negeri ini, jelas menunjukkan semua individu, keluarga dan masyarakat setiap lapisan berhak mendapat kebaikan, keamanan dan kesejahteraan dengan cara saksama yang diterima umum sebagai tradisi dan amalan bermasyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 1438H/2016M di Dewan Sukan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong di sini semalam.

Tambahnya, rakyat Sarawak bebas menghayati kehidupan beragama serta tiada sekatan dalam pergaulan dan hidup bersatu padu.

“Berbanding kebanyakan tempat di dunia ini, penerimaan setiap individu rakyat berlainan agama di negeri ini amat luar biasa kerana amalan beragama dalam kalangan sesuatu kaum didasari dengan maksud yang ikhlas serta memahami antara satu sama lain dan lahir dalam hubungan yang unik.

“Perpaduan rakyat harus diteruskan dalam kita menentukan hala tuju sebagai sebuah negeri yang maju dengan pembangunan mampan,” ujarnya

“Masyarakat Islam harus menjadi contoh kepada golongan lain dalam memberi sumbangan kepada kepelbagaian beragama dan tidak membezakan seseorang individu kerana perbezaan kaum dan agama.

“Kita juga harus memperjuang hak sama rata antara kaum di negeri ini demi kemajuan Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Pada majlis tersebut, beliau berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Maal Hijrah tahun ini merangkumi kategori Keluarga Contoh, Pegawai Awam Contoh, Masjid Contoh, Surau Contoh, Sekolah Rendah Agama Contoh, Pelajar STPM Cemerlang dan Pelajar SPM Cemerlang.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta isteri, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta isteri, menteri-menteri muda, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Misnu Taha serta isteri dan kenamaan lain.