Kasa reda isterinya meninggal di Mekah

0
TABAHKAN HATI: Kasa (kiri) dipeluk oleh anaknya, Salmah sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri semalam. Pemergian ibunya, Lumat Timbang di Tanah Suci turut menjadikan suasana sebak seketika.

TABAHKAN HATI: Kasa (kiri) dipeluk oleh anaknya, Salmah sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri semalam. Pemergian ibunya, Lumat Timbang di Tanah Suci turut menjadikan suasana sebak seketika.

MIRI: Jemaah haji dari Miri, Kasa Nabai, 70, dari Kampung Dagang Bekenu, reda dengan pemergian isteri tersayang, Lumat Timbang yang meninggal dunia selepas disahkan menghidap ‘pneumonia septicaemia’.

Kasa berkata, isterinya meninggal pada 24 September lalu kerana tidak sedarkan diri ketika sedang bersembahyang dan perkara itu telah disahkan oleh pihak hospital di Mekah.

“Saya hanya diberitahu oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) pemergian Allahyarham semasa berada di hospital dan saya reda dengan ketentuan Ilahi kerana beliau meninggal sewaktu menunaikan Rukun Islam kelima,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kasa memberitahu, Allahyarham Lumat sebelum ini turut mengalami sakit tetapi mereka tetap bersemangat dan meneruskan hasrat menunaikan fardu haji.

Kasa bersama 32 jemaah haji dari Miri tiba di Lapangan Terbang Miri semalam dengan penerbangan dari Kuching dan merupakan ketibaan kedua jemaah haji Sarawak dari Tanah Suci Mekah.

Dalam perkembangan berkaitan seorang lagi jemaah haji, Jamidah Aman, 67, bersyukur kerana dapat menunaikan ibadat haji selepas menunggu hampir lapan tahun.

“Alhamdulillah… saya dapat menunaikan semua rukun haji tahun ini dengan baik walaupun dalam keadaan cuaca panas dan saya juga berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh LTH,” katanya.

Jamidah dari Kampung Tudan, Miri turut melahirkan kegembiraan kerana dapat kembali ke tanah air bersama keluarga selepas menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Berkongsi perasaan sama, Zainuddin Dollah, 65, dari Kampung Piasau turut bersyukur selepas hasratnya menunaikan ibadah haji kali ini menjadi kenyataan.

“Saya amat bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik menunaikan ibadah haji, keadaaan cuaca yang panas juga tidak mematahkan semangat kami jemaah Malaysia menunaikan haji,” jelasnya.

Ditanya tentang perkhidmatan yang diberikan LTH, Zainuddin berkata perkhidmatan yang diberikan amat baik dan cemerlang malah makan minum serta pergerakan jemaah dijaga dengan baik.

Ketibaan jemaah haji semalam disambut oleh Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Pengurus LTH Miri Shapheri Lamat, Setiausaha Media ADUN Bekenu Siti Nuriafidah Ahmad, Temenggung Abdul Rahman Fadzil dan ketua-ketua masyarakat kawasan Miri serta pegawai LTH Miri.