Pengurusan Lembaga Tabung Haji dipuji sebagai yang terbaik

0

MIRI: Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang memuji pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (LTH) yang mengurus jemaah haji sebelum jemaah berangkat pergi dan selamat balik ke tanah air sebagai yang terbaik.

Beliau berkata maklum balas diterima jemaah haji dari Miri rata-rata berpuas hati dengan perkhidmatan LTH termasuk dalam menguruskan makan minum, pergerakan jemaah, penginapan dan sebagainya.

“Rata-rata jemaah haji yang kita temui berpuas hati dan bersyukur setelah kembali ke tanah air dengan selamat selepas selesai menunaikan ibadah haji dibantu oleh LTH,” katanya semasa menyambut ketibaan 33 jemaah haji di Lapangan Terbang Miri dengan penerbangan dari Kuching semalam.

Beliau berkata semua pergerakan jemaah haji dipantau LTH bagi memastikan jemaah haji tidak sesat  semasa berada di Mekah malah tahap kesihatan jemaah turut diawasi.

“Meskipun keadaan cuaca panas terik di Tanah Suci, jemaah haji kita sentiasa dipantau kesihatan mereka oleh pegawai-pegawai LTH bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa baik,” jelasnya.

Ahmad Lai menasihati bakal jemaah haji agar melakukan persiapan mental dan fizikal selain perlu bersedia berhadapan dengan cuaca panas ketika menunaikan fardu haji pada tahun akan datang.

“Berikutan suhu panas di Tanah Suci Mekah setiap tahun, jemaah haji diingatkan minum air dengan kadar yang banyak bagi mengelakkan penghidratan yang boleh menjejaskan kesihatan mereka,” katanya.

Mengenai segala aspek keselamatan yang ditetapkan, beliau turut memberitahu jemaah haji agar mengikuti peraturan dan nasihat ditetapkan LTH.

Sementara itu, Pengurus LTH Miri Shapheri Lamat berkata seramai 33 jemaah haji dari Miri tiba semalam dan ia adalah kumpulan yang tiba dengan penerbangan dari Kuching.

“Hanya seorang sahaja jemaah haji dari Miri yang meninggal dunia iaitu Lumat Timbang dan Allahyarham disahkan menghidap ‘pneumonia septicaemia’, jumlah keseluruhan jemaah haji dari Miri ialah 34 orang,” jelasnya.

Shapheri berkata, pihaknya mengurus jemaah haji sebelum dan selepas tiba dari Tanah Suci dan semua jemaah haji berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.