MBM: Wujudkan jawatan pekerja belia profesional bimbing belia bermasalah

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan diwujudkan jawatan ‘pekerja belia profesional’ untuk ditempatkan di institut pendidikan dan latihan atau institusi masyarakat khusus bagi membantu belia bermasalah.

Naib Presiden MBM Jufitri Joha berkata peranan dan tugas pekerja belia itu lebih fokus kepada membantu golongan masyarakat seperti belia keciciran, belia berisiko dan bekas banduan.

Katanya, peningkatan masalah belia yang telah melalui proses intervensi tetapi kembali melakukan kesalahan memerlukan pekerja belia terlatih untuk membimbing mereka.

“Pekerja belia juga boleh ditempatkan di agensi atau jabatan kerajaan dan memberi khidmat kebeliaan kepada kumpulan sasar berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat ‘Youth Ideas’ anjuran MBM di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya bercadang untuk menubuhkan Pusat Inovasi Belia bagi melatih dan membangunkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan dan pekerjaan yang profesional dalam bidang yang diminati.

Jufitri berkata cadangan itu akan diutarakan kepada Majlis Perundingan Belia Negara bagi mendapat dokongan kerajaan.

“Kita sudah ada satu model di Hulu Langat yang mempunyai seorang pekerja belia menyediakan pusat latihan kepada belia yang keciciran, meraikan bakat dan potensi mereka dalam bidang yang diminati bagi menghasilkan sesuatu produk inovasi,” katanya.

Ketua Penerangan MBM Mohammad Rizan Hassan berkata golongan belia perlu mempunyai pendekatan inovasi sosial atau keusahawanan bagi menjadi pekerja mahir terlatih, seterusnya mengharungi rintangan ekonomi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Menurutnya, setakat ini, MBM telah membantu hampir 5,000 belia keciciran dan belia berisiko mendapat bantuan dari segi latihan kemahiran dan peluang pekerjaan sejak 2010. — Bernama

What do you think of this story?
  • Angry (0%)
  • Sad (0%)
  • Nothing (0%)
  • Interesting (0%)
  • Great (0%)

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of