Kereta guru dipecah RM35,280 KWAPM lesap

0
DIPECAH: Keadaan kereta guru tersebut selepas dipecah masuk pencuri.

DIPECAH: Keadaan kereta guru tersebut selepas dipecah masuk pencuri.

SARIKEI: Sejumlah RM35,280 wang tunai dikeluar seorang guru milik Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) lesap selepas beg sandang miliknya dilarikan pencuri yang memecah masuk keretanya di sini, kelmarin.

Dalam kenyataan media di sini semalam, Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Mat Jusoh Muhamad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.20 petang di tempat letak kereta Jalan Masjid Lama Sarikei iaitu di hadapan sebuah farmasi di sini.

“Menurut guru berkenaan, beliau memasukkan wang tunai itu ke dalam beg sandang bersama dua buku bank selepas mengeluarnya di sebuah bank dan meletaknya di bawah kerusi penumpang bahagian depan.

“Guru itu menyedari bahagian pintu hadapan sebelah kiri penumpang dipecah sekembalinya dari kedai membaiki pencetak yang terletak tidak berapa jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Jelasnya, pengadu, 50, menyedari beg sandang mengandungi wang tunai itu turut hilang dan yakin pencuri berkenaan mengekorinya bermula urusannya di bank berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati CCTV di tempat kejadian tidak berfungsi, namun dua saksi awam ada melihat dua suspek menunggang motosikal (nombor pendaftaran tidak kelihatan).

“Salah seorangnya memecahkan cermin kereta pengadu dan mengambil beg sandang dari dalam kereta,” ujarnya.

Justeru, kata Mat Jusoh, usaha mengesan suspek masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Mat Jusoh menggesa orang ramai agar berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan sekeliling ketika mengeluarkan wang dari bank.

“Kita juga ingin menasihatkan orang awam agar tidak meninggalkan sebarang barang berharga di dalam kereta kerana ia mampu menarik perhatian penjenayah,” katanya.