Pupuk semangat kebersamaan

0

Oleh Harry Ilias//

BERAKHIR: Fatimah (tengah) dan Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti, Dr Abdul Rahman Ismail bersama kontinjen Wilayah Persekutuan dan tetamu lain.

BERAKHIR: Fatimah (tengah) dan Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti, Dr Abdul Rahman Ismail bersama kontinjen
Wilayah Persekutuan dan tetamu lain.

KUCHING: Integrasi su­kan kalangan atlet OKU dan atlet-atlet biasa perlu ditingkatkan bagi memu­dahkan lagi usaha memupuk semangat kebersamaan dan rasa prihatin dalam masyarakat.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komu­niti, Datuk Fatimah Abdullah berkata integrasi itu penting untuk mewujudkan kepekaan terhadap kemampuan, bakat-bakat dan potensi setiap atlet tanpa melihat latarbelakang sosiobudaya atau keadaan fizikal dan mental mereka.

Katanya, aspek akses, ekuiti dan kualiti dalam penyedi­aan peluang dan kemudahan antara faktor kritikal yang perlu ditangani demi harga diri dan kesejahteraan bersama.

“Lima penghalang utama penyertaan dan penglibatan dalam bidang sukan yang se­lalu disebut adalah masalah komunikasi, keterbatasan masa, kurang kecergasan, kurang keyakinan diri dan kos. Dalam kalangan OKU pekak, satu cabaran besar perlu ditangani adalah masa­lah komunikasi.

“Kesukaran perhubungan antara atlet dengan jurulatih dan pengelola, sukarelawan dan personal pengurusan tidak mempunyai kemahiran khas boleh menghambat usa­ha melibatkan mereka secara meluas menangani isu akses, ekuiti dan kualiti penyertaan orang-orang pekak dalam

sukan,” katanya pada penu­tupan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-19 di Stadium MBKS, di sini malam kelmarin.

Menurutnya, penganjuran SOPMA hendaklah dili­hat dalam konteks penyedi­aan peluang dan memberi pengiktirafan sama kepada atlet-atlet pekak bukan sa­haja menampilkan keheba­tan, kebolehan dan bakat mereka dalam sukan tetapi turut memperluas usaha memupuk rasa kebermaknaan kewujudan, kebersamaan dan kebergunaan diri dalam masyarakat.

Sehubungan ini, Fatimah berkata kerajaan negeri mem­belanjakan sejumlah RM2.2 juta untuk menganjurkan SOPMA kali ini.

Katanya, ini termasuk pem­berian ganjaran bagi peme­nang-pemenang pingat sama seperti yang diterima atlet-at­let biasa dan paralimpiad.

SOPMA Ke-19 berlangsung dari 30 September hingga 6 Oktober (kelmarin) men­yaksikan kontinjen Wilayah Persekutuan ditabalkan se­laku juara keseluruhan selepas mengutip 12 pingat emas, la­pan perak dan lima gangsa.

Sabah di tempat kedua den­gan 11 emas, 11 perak dan 10 gangsa disusuli Sarawak den­gan enam emas, tujuh perak dan tujuh gangsa.

Selangor di tangga keem­pat dengan empat emas, tiga perak dan empat gangsa, Melaka tangga kelima dengan tiga emas, dua perak dan dua gangsa dan Terengganu tem­pat keenam dengan dua emas, empat perak dan dua gangsa.

Tempat ketujuh hingga ke- 12 disandang Pulau Pinang (2 emas, 3 perak), Kedah (1 emas, 5 perak, 5 gangsa), Johor (1 emas, 1 perak, 5 gangsa), Kelantan (2 emas), Perak (3 gangsa) dan Pahang (1 gangsa).

Selain itu, atlet Wilayah Persekutuan Muhammad Sharul Azmer Azman dan Sia Chew Ing dari Sarawak diumumkan selaku Atlet Lelaki dan Wanita Terbaik kejohanan.