Wanita cemas, bilik hotel terbakar

0
TERBAKAR: Asap kelihatan keluar dari bilik hotel yang terbakar.

TERBAKAR: Asap kelihatan keluar dari bilik hotel yang terbakar.

SIBU: Bau asap yang menusuk hidung memaksa seorang penghuni wanita bergegas keluar dari bilik penginapan di tingkat tiga sebuah hotel di Jalan Kampung Nyabor di sini malam kelmarin.

Sejurus itu, wanita berkenaan hanya menyedari asap keluar dari bilik bersebelahan.

Difahamkan, beliau terus memaklumkan suaminya yang kemudian bertindak menghubungi talian kecemasan.

“Saya agak cemas apabila isteri saya kata hotel terbakar,” katanya.

Bomba menerima panggilan jam 11.49 malam mengerahkan satu pasukan ke lokasi kejadian dengan kekuatan seramai 15 anggota diketuai PBK II Hendry Ho dan PBK II Pathi Samsudin menaiki dua jentera Scania dan EMRS.

Setiba di lokasi sejauh 1.5 kilometer tiga minit kemudian didapati kebakaran berlaku di tingkat tiga melibatkan sebuah bilik penginapan.

Pegawai Kanan dan Ketua Balai Bomba Sentral, TPgB Abd Mutalif Jaafar (Ketua Balai berkata api berjaya dipadam menggunakan sumber air dari jentera.

“Kebakaran itu hanya menjejaskan bahagian dalam sebuah bilik penginapan yang terbakar 100 peratus,” jelasnya.

Katanya, tiada kecederaan mangsa dilaporkan dan operasi tamat jam 12.40 pagi.

Punca kebakaran belum dikenal pasti dan disiasat oleh Forensik Bomba.

Sementara itu, seorang penghuni hotel sama memberitahu bahawa bilik hotel terjejas itu diduduki tiga lelaki berbangsa Bangladesh.

Katanya, bilik penginapan yang terbakar itu didaftar atas nama seorang lelaki warga Bangladesh pada hari kejadian.

Menurut sumber itu, penghuni bilik berkenaan tidak berada di dalam bilik semasa kebakaran.

Katanya, penghuni sudah keluar sebelum kejadian.

“Saya terpaksa berpindah ke hotel lain sejurus selepas operasi pemadaman selesai dan sewa bilik telah dikembalikan,” katanya.