Petra Giant kukuh kedudukan

0

Meraih satu mata pada perlawanan menentang DBKU kempen Liga Kuching 2016

// Oleh Harry Ilias/Mohd Shafik Ahmad //

DIASAK: Penyerang DBKU, Azmie Kifli (jersi hijau) diasak pertahanan Petra Giant pada perlawanan Liga Kuching LSC di Padang D, Kuching Ahad lalu.

DIASAK: Penyerang DBKU, Azmie Kifli (jersi hijau) diasak pertahanan Petra Giant pada perlawanan Liga Kuching LSC di Padang D, Kuching Ahad lalu.

KUCHING: Petra Giant mengukuhkan kedudukan di persada Liga Kuching LSC 2016 selepas berjaya meraih satu mata pada perlawanan menentang DBKU di Padang D di sini Ahad lalu.

Wan Ismawi Wan Saet muncul wira Petra Giant dengan meledak jaringan penyamaan pada minit ke-85 selepas DBKU mendahului pada babak pertama menerusi sepakan penalti Ismail Bujang pada minit ke-30.

Bermain dalam keadaan padang becak menyukarkan kedua-dua jentera serangan untuk merangka serangan dengan berkesan.

Namun, ia tidak menyekat keghairan Petra Giant untuk memburu gol awal dan tampak berbahaya dengan melancar beberapa serangan berbahaya ke ku-bu DBKU sebaik wisel dibunyikan.

Tersentak dengan jaringan DBKU pada babak pertama, Petra Giant memperbaiki corak permainan pada babak kedua.

Skuad kendalian Roziman Ramli itu akhirnya menarik nafas lega apabila Wan Ismawi berjaya menyamakan kedudukan sekali gus meraih satu mata berharga.

“Sedikit kecewa kerana kita sepatutnya boleh memenangi perlawanan ini namun dihambat oleh jentera serangan yang kurang berkesan.

“Padang becak turut menyukarkan pergerakan pemain lantas menyebabkan kita melepaskan banyak peluang keemasan untuk menjaringkan gol,” komen Pengurus Petra Giant, Nazrul Hayat Ahmad.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan berlangsung pada Sabtu lalu menyaksikan Axis FC membenam APM dengan jaringan besar 4-1.

Axis FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Abang Othman Shaiful pada minit ke-18 sebelum APM menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Amirul Syafiq pada babak kedua.

Selang lima minit kemudian, Mohd Izray Iffarul kembali meletakkan Axis FC di depan apabila meledak gol kedua pada minit ke-61.

Axis FC terus mengasak kubu lawan sehingga minit terakhir perlawanan sekali gus membuahkan hasil apabila Mohd Shahfitri menggegar jaring minit ke-85.

Lima minit kemudian, Mohd Shahfitri sekali lagi melakukan kejutan mencipta jaringan kedua peribadinya pada minit ke-90 membantu Axis FC mencatatkan kemenangan pertama dalam kempen liga itu.

Selepas empat perlawanan, Petra Giant masih mendominasi tangga teratas liga dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua seri.

Sementara itu, IEM-SJN terus mengekori rapat pendahulu dibezakan dengan satu mata sahaja, bagaimanapun berpeluang memintas Petra Giant yang telah melalui perlawanan keempat.

Dua kedudukan terakhir liga dihuni Borneo Island dan Al Malizia yang berkongsi satu mata namun dibezakan dengan defisit gol.

Perlawanan seterusnya dijadualkan berlangsung pada Rabu ini antara pasukan Borneo Island menentang KSK Satok dan Al Malizia akan melayan DBKU di Padang D di sini, jam 4 petang.