Kakitangan KEMAS perlu utama tugas hakiki: Abang Rabaiee

0
AMANAT: Abang Rabaiee (kiri) menyampaikan amanat sambil diperhatikan Azrul (tengah) serta yang lain semasa menangguhkan bengkel berkenaan semalam.

AMANAT: Abang Rabaiee (kiri) menyampaikan amanat sambil diperhatikan Azrul (tengah) serta yang lain semasa menangguhkan bengkel berkenaan semalam.

KABONG: Seramai 75 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarawak terlibat dalam Bengkel Profesionalisme Bina Insan dan Mesyuarat Pengurusan Bina Insan Siri 1/20016 yang telah diadakan di Resorts Tanjung Kembang, Kabong.

Program selama dua hari itu melibatkan semua Pegawai KEMAS Bahagian, Pegawai KEMAS Daerah, Penyelia Kanan, Penyelia Bina Insan serta Pemaju Masyarakat Bina Insan di Sarawak.

Pengarah KEMAS Sarawak Abang Rabaiee Abang Muhi berkata, Program Bina Insan perlu diperkasa dari semasa ke semasa mengikut kehendak kumpulan sasar.

Justeru katanya,  peranan serta tanggungjawab kakitangan berkenaan seperti Penyelia Bina Insan dan Pemaju Masyarakat perlu mengoptimum masa agar perjalanan pelaksanaan program berjalan baik dan sempurna.

“Kita perlu melaksanakan kehendak ini mengikut garis panduan yang telah disediakan,” katanya semasa menutup bengkel berkenaan dekat sini semalam.

Abang Rabaiee mengingatkan agar kakitangan mengutamakan tugas hakiki terlebih dahulu sebelum melaksana tugas lain kerana ia boleh memberi impak perjalanan pelaksanaan program hakiki.

Oleh yang demikian katanya, saranan ini perlu diberi perhatian sambil berharap pegawai KEMAS bahagian atau daerah memantau agar semua perjalanan program sempurna.

Abang Rabaiee turut menekankan agar pelaksanaan Program Bina Insan setiap kawasan dipantau dari segi gerak kerja, garis panduan serta kemudahan dan tenaga pengajar dalam keadaan sempurna di samping mencukupi.

Katanya instrumen dibangun boleh diguna peserta aktiviti untuk menilai keberkesanan aktiviti dilaksanakan.

Di samping pelaksanaan aktiviti Kelas Bina Insan, Bahagian Bina Insan juga melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dalam bentuk kemahiran insaniah (softskills) mengguna peruntukan pembangunan.

Antaranya ialah Kluster Outreach (Wadah Semasa – Diskusi Ilmiah, Kluster Pemantapan Syiar Islam ( Sambutan Hari Kebesaran Islam, Sambutan Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Gema Ramadan, Festival Kesenian Islam), Kluster Amal Islami/Kemahiran (Kursus Remaja/Belia, Motivasi – Kem Remaja Ideal, Sukan – Kem Riadah Hadhari).

Terdahulu, mesyuarat pengurusan Bina Insan dipengerusi Penolong Pengarah (Unit Pembangunan Komuniti) Muhammad Azrul Aidi Philip Abdullah.

Turut hadir dalam bengkel dan mesyuarat tersebut ialah dua pegawai ibu pejabat KEMAS Putrajaya.