Lewat 36 peratus

0

Pembinaan Hospital Petra Jaya yang pada asalnya dijadual siap Nov 2016, kini dijangka siap Jun 2017.

PERJELAS: Dr Jamilah (kanan) bersama (dari kiri) Ellam, Dr Sim dan Dr Hilmi pada sidang media di Kuching, semalam.

PERJELAS: Dr Jamilah (kanan) bersama (dari kiri) Ellam, Dr Sim dan Dr Hilmi pada sidang media di Kuching, semalam.

// Oleh Jessica Jawing //

KOTA SAMARAHAN: Projek pembinaan Hospital Petra Jaya di Kuching mengalami kelewatan 36 peratus daripada tempoh yang dijadualkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim berkata, projek yang pada asalnya dijangka siap November 2016 itu turut dijadualkan semula pada Jun 2017 sebagai tarikh baharu penyiapan.

“Projek pembinaan Hospital Petra Jaya mengalami kelewatan yang menjangkau 36 peratus. Jika diikutkan tarikh penyiapan asal adalah 29 November 2016 dan kini tarikh baharu siap adalah 9 Jun 2017.

“Dalam kes ini kontraktor diberi masa lanjutan penyiapan dan antara alasan diberikan sebab berlakunya kelewatan adalah kekurangan pekerja,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen 2016 Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Zon Sarawak yang disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Ellam Endin Nom.

Tambah Dr Jamilah, kontraktor yang terlibat dengan pembinaan projek hospital berkenaan telah berjanji akan menambah bilangan pekerja dan mereka juga telah didenda atas kelewatan berkenaan.

Sementara itu beliau mendedahkan bagi projek hospital lain termasuk Hospital Sri Aman dan Hospital Lawas kini dalam proses pembinaan.

“Bagi Hospital Sri Aman ia dikategorikan mengikut jadual yang ditetapkan sementara Hospital Lawas bakal memulakan fasa 2B iaitu pembinaan bangunan sebaik sahaja peruntukan tambahan RM22 juta diluluskan.

“Bagi Hospital Lawas ini, masalah awal adalah memerlukan peruntukan tambahan berkenaan dan kini ia telah diluluskan maka kerja pembinaan bangunan bakal dimulakan,” katanya sambil memberitahu bahawa fasa pertama, iaitu pecah tanah dan fasa 2A projek Hospital Lawas telah siap sepenuhnya.

Mengenai projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Jamilah berkata ia kini pada peringkat perjanjian konsesi dan ia bakal diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

“Dengan itu kita berharap menjelang tahun depan projek ini dapat dimulakan dan kos pembinaan masih sama iaitu RM378 juta,” katanya.

Sementara itu Dr Hilmi pada sidang media yang sama menyatakan komitmen kerajaan melalui kementerian akan menekankan kesemua isu terbabit pada persidangan Parlimen.

Jelas beliau, isu khasnya tempat letak kereta bertingkat sudah lama dibangkitkan maka itu ia harus dipercepatkan kerana semakin lama ia akan menyebabkan kos meningkat.

“Ini pastinya mendatangkan bukan sahaja kerugian kepada kerajaan tetapi kepada rakyat,” katanya.