4 jam redah hutan

0
SAR: Ismaili mengkoordinasikan tugas mencari dan menyelamat bagi semua jabatan yang terlibat.

SAR: Ismaili mengkoordinasikan tugas mencari dan menyelamat bagi semua jabatan yang terlibat.

DIJUMPAI: Bot yang dinaiki mangsa berjaya ditemui penduduk kampung.

DIJUMPAI: Bot yang dinaiki mangsa berjaya ditemui penduduk kampung.

TEMPAT KEJADIAN: Hamddie yang turut sama dalam operasi SAR semalam menunjukkan lokasi kejadian kepada anggota penyelamat.

TEMPAT KEJADIAN: Hamddie yang turut sama dalam operasi SAR semalam menunjukkan lokasi kejadian kepada anggota penyelamat.

Nelayan berjaya berenang ke tebing, rakan hilang dalam insiden bot karam dekat Tg Po.

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Seorang nelayan terpaksa meredah hutan selama kira-kira empat jam sebelum sampai ke Kampung Selabat, Muara Tebas selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik berdekatan perairan Tanjung Po di sini, semalam.

Mangsa Hamddie Jarawi, 47, yang berjaya menyelamatkan dirinya dalam insiden tersebut berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam Khamis lepas ketika dia dan rakannya, Razali Pit, 36, sedang menangkap ikan.

Menurutnya, bot mereka tiba-tiba terbalik akibat dipukul ombak menyebabkan mereka berdua tercampak dari bot berkenaan.

“Saya sempat berpaut pada batu berdekatan kawasan kejadian sebelum berenang ke tebing iaitu kira-kira 20 meter dari tempat bot kami terbalik.

“Ketika itu (sampai di tebing) saya tidak dapat mengecam kawasan berkenaan disebabkan keadaan gelap dan saya hanya mampu meredah sahaja hutan sebelum tiba di satu kawasan kampung kira-kira empat jam kemudian.

“Saya terus mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung untuk menghubungi keluarga dan anggota penyelamat,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Hamddie berkata, dia juga berusaha mencari Razali yang dikhuatiri dihanyutkan ombak sebelum dia membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan.

“Sebelum membuat keputusan meredah hutan, saya beberapa kali memanggil dia (Razali) dan cuba mencarinya di tebing, namun menemui jalan buntu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.30 pagi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas itu.

“Rakan (Hamddie) mangsa (Razali) membuat laporan kepada APMM dan sejurus laporan dibuat, dua buah bot maritim segera digerakkan untuk melaksanakan SAR.

“Pagi tadi (semalam), bot mereka yang dikatakan terbalik telah dijumpai di kawasan berhampiran Beting Batu Mandi dan telah ditunda pulang oleh penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berasal dari Kampuang Muara Tebas.

Operasi SAR ditangguh petang semalam ekoran keadaan cuaca buruk dan disambung hari ini turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan beberapa agensi lain.

Hadir sama dalam operasi tersebut semalam ialah Pengarah Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit.