Polis tumpas dua geng pecah rumah, curi kenderaan di KK

0

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan dua kumpulan pecah rumah dan curi kenderaan yang aktif di sekitar daerah ini berikutan penahanan 13 suspek dalam operasi khas pada 28 September sehingga Sabtu lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata dengan tangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan 12 kes pecah rumah dan curi kenderaan melibatkan kedua-dua kumpulan itu dengan anggaran kerugian RM217,800.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya telah menjalankan satu operasi khas dan menahan enam suspek iaitu empat lelaki dan dua wanita dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Keningau.

“Mereka yang ditahan adalah anggota kumpulan geng Arbie berumur 22 dan 31 tahun dan kesemua suspek didapati positif dadah. Dua daripada suspek berkenaan turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam siri tangkapan berasingan sepanjang operasi khas itu, polis turut menahan tujuh suspek iaitu enam lelaki dan seorang wanita di sekitar daerah ini.

Katanya, kesemua yang ditahan adalah anggota kumpulan geng Itam berumur antara 18 dan 33 dan pemeriksaan lanjut mendapati enam daripada suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah, curi kenderaan dan dadah.

Chandra berkata antara barangan yang turut dirampas daripada kedua-dua kumpulan berkenaan ialah tiga kenderaan iaitu yang mana dua daripada kereta berkenaan telah dilaporkan hilang di Kingfisher baru-baru ini dan 15 utas jam tangan serta 12 telefon bimbit.

“Antara lain barangan yang dirampas adalah pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah dan curi kereta. Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya. — Bernama

Beliau berkata kes berkenaan disiasat Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama