Pengawal keselamatan tembak diri sendiri

0
MATI: Mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah setelah dipercayai menembak dirinya dengan menggunakan senapang patah.

MATI: Mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah setelah dipercayai menembak dirinya dengan menggunakan senapang patah.

SARATOK: Kecederaan parah di bahagian dada menyebabkan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di sini maut di lokasi kejadian petang kelmarin dan diklasifikasikan sebagai bunuh diri.

Ketua Polis Daerah (KDP) Saratok DSP Lee Thai Lein berkata mangsa Rekie Empading, 58, dipercayai menembak dirinya sendiri dengan menggunakan senapang patah jenis Made in USA 12GA Choke di kediamannya di Taman Seroja Indah, Saratok.

“Kejadian berlaku sekitar jam 1.30 petang ketika mangsa bersama dua anaknya dan dua kawan anaknya tidur di ruang tamu rumah setelah penat balik dari menghadiri satu majlis perkahwinan di sebuah rumah panjang di Hulu Krian, Saratok.

“Berdasarkan siasatan awal, secara tiba-tiba mangsa masuk ke dalam rumah dan terus ke dalam biliknya lalu mengambil selaras senapang patah dan menembak dirinya sendiri di bahagian dada lalu meninggal dunia.

“Dalam keterangan awal diambil daripada jiran dan ahli keluarga mangsa, mendapati punca utama mangsa menembak dirinya sendiri masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Lee, tiada sebarang pertengkaran atau pergaduhan berlaku melibatkan mangsa dengan ahli keluarganya sebelum kejadian.

Tambahnya, sebelum kejadian mangsa bekerja syif malam dari jam 8 malam pada 14 Oktober (Jumaat) hingga 8 pagi pada 15 Oktober (Sabtu).

“Menurut ahli keluarga mangsa, selepas selesai tugas si mati tidak balik ke rumah sehingga masa kejadian berlaku.

“Senapang digunakan oleh mangsa menembak dirinya sendiri dirampas untuk siasatan lanjut.

“Mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Saratok untuk dibedah siasat,” katanya sambil menambah, kes itu masih dalam siasatan polis.